Ahad, 19 April 2020

Bercuti ke Pulau Langkawi (Part 1)_2020


Sedang aku duduk menonton tv, cucu ku memberitahu bahawa ayahnya kena bekerja di Pulau Langkawi untuk beberapa hari.  Pada masa yang sama, ayahnya berhasrat membawa familinya bercuti. Aku memang dah lama teringin nak pergi ke Pulau Langkawi tetapi tiada teman untuk pergi ke sana.  

Suami aku dah pernah pergi bersama dengan keluarga pertamanya.  Jadi, jikalau aku ajak dia pun, pastinya dia kurang berminat ke situ lagi.   Aku berharap sangat agar anak aku pelawa aku.  Aku saja menyuarakan,  "tak nak ajak ibu ke"  😐😐  Anak aku senyum.  Sebenarnya memang dia telah pelawa aku, cuma aku terfikir fikir samada nak pergi ke tidak sebab  hari yang mereka nak pergi tu adalah hari bekerja. 

Pada hari Khamis (20/02/2020) aku tengok anak sulong ku sebok menyiapkan pakaian  yang disimpan ke dalam "travel beg"  untuk bercuti.  Maka, aku pun buat keputusan untuk EL @ ponteng kerja dan mahu ikut mereka bercuti. 😊

Aku maklumkan hasrat hati aku yang mahu mengikut  keluarga anak sulong aku bercuti ke Pulau Langkawi  kepada suamiku.  Aku minta izin daripadanya tapi sebenarnya suami aku berat hati untuk melepaskan aku pergi bercuti kerana  pada minggu sebelumnya suamiku gagal pulang ke rumah aku.  Maka, aku tidak dapat menjalankan tanggungjawab mingguanku melayaninya sepertimana setiap minggu walaupun katilku telah dikemas rapi.  Ehh...tetiba sebut katil.. Kenapa katil..???  Biasalah tugas seorang isteri, kann... Si suami ni jikalau "tempat tidur tak cantik, merajuk panjang la dia.. Ehh...katil cantik, hi hi...faham sendiri sudah.."😍😍😍 

Ustaz selalu berpesan, nak jaga suami tu "jagalah perutnya dan jagalah tempat tidurnya"..  Tempat tidur tu.. tempat tidur... Banyak kali ustaz pesan "makannya...katilnya.." ha faham faham la, kan.. 😚
Emak aku berpesan begitu juga. Malahan suami aku pun akui perkara yang sama. Ha..betullah apa yang ustaz tu pesankan.  Okaylah, walau bagaimanapun, aku tetap ikut keluarga anak sulongku bercuti ke Pulau Langkawi.

Bercuti ke Pulau Langkawi ini tiada dirancang dan itineri lawatan pun tidak disusun rapi. 

Pada hari Jumaat  (21/02/2020) jam 8:00 pagi kami bergerak dari Ulu Kinta, Perak menuju ke Feri Kuala Perlis.  Perjalanan kami amat tenang sebab tidak banyak kenderaan di jalanraya.  Lebihkurang jam 10:00 lebih, kami telah sampai di Terminal Feri Kuala Perlis.  Anak sulongku sudah membeli tiket untuk kami menaiki feri menyeberangi lautan ke Pulau Langkawi.  Percutian pada kali ini ditanggung sepenuhnya oleh menantu sulongku.  Maka, aku langsung tidaak tau, berapa kos setiap  wang yang dibelanjakan semasa percutian ini.   Sebelum kami menaiki feri, kami telah bersarapan terlebih dahulu.  Kemudiannya, kami telah meninggalkan kereta kami di tempat meletak kereta.  Perjalanan menaiki feri ke Pulau Langkawi mengambil masa lebihkurang 1 jam 45 minit.  Lama la jugak.   Kami sampai di Pulau Langkawi lebihkurag jam 12:00 tengahari.



Sebaik sahaja kami sampai, anak sulong aku telah bertemu dengan kawanya dan mereka telah menguruskan kereta sewa supaya kami boleh  menggunakannya selama 3 hari berada di Pulau Langkawi iaitu sebuah kereta  Nissan Almera.  




Seterusnya, kami pergi mencari restoran makan tengahari terlebih dahulu. Kami telah dibawa ke Restoran Kak Yan Nasi Campur.  Wah... Di sini ada pelbagai jenis lauk pauk, gulai, ulam ulaman.  Mudah pulak tu, cedok jer... tak perlu tunggu lama lama.    

Selesai makan tengahari, kami terus dibawa ke HIG Apartment Homestay di Kuah yang mana bersebelahan dengan supermarket Haji Ismail Group Sdn Bhd.


Kami hanya masuk sekejap sahaja dan aku sempatlah mandi serta solat jamak Zohor dan Asar terlebih dahulu sebelum kami keluar semula untuk melawat tempat tempat yang sesuai pada hari pertama ini.

(Aida Mas Ayu_21/02/2020)



Percutian tanpa dirancang dengan teliti.  Tiada itineri yang disusun rapi. Maka, menantu aku pandu kereta ikut suka hati dia sahaja sambil bertanya kepada isterinya arah tuju yang nak dibawa, lalu kami ke Tanjung Rhu untuk melihat luasnya pantai dan indahnya lautan.   Kami hanya berada sebentar sahaja disini.









Berpanasan di Pantai Tanjung Rhu.  











Kami pergi berebut nak berehat di kerusi ni saja saja nak bergambar, tiba tiba pemilik yang berniaga kerusi ini datang menghampiri kami dan kami terpaksa bergegas bangun, he he...



Menantu aku bawa kami meronda sahaja di dalam kereta dan kami singgah di Kota Mahsuri Langkawi dengan hasrat ingin melihat Makam Mahsuri tetapi kami tidak dapat memasuki kawasan makam tersebut kerana ianya sedang proses diubahsuai.
  




Seterusnya, kami dibawa ke Underworld Water Langkawi, tempat yang popular sejak tahun 1990an lagi. Kami menghabiskan beberapa waktu di sini.








Cucu cucu aku memang teruja sangat berada di Underworld Water Langkawi nii...








Betapa girangnya mereka. Penuh dengan senyum dan ketawa. Kegembiraan di wajah mereka adalah magnet yang dapat menggembirakan hati aku jua..







Apabila mereka melihat burung Penguin ni, mereka akan teringat kepada Paksu mereka, yang mana satu hari Paksu mereka telah merakam video burung penguin seekor per seekor sambil memanggil  penguin itu dengan nama cucu cucu ku seorang demi seorang..




Kemudian, kami telah pergi ke Pusat Membeli Belah Tanpa Cukai. Aku tak tau nama supermarket tu.. Di sini ada pelbagai barangan berupa pinggan mangkok, periuk pelbagai jenis, dan macam macam lagi.  Disini anak aku telah membelikan aku sebuah beg galas berwarna hitam dan dompet berwarna Pink.  Memang cantik.  Terima kasih kak yong dan suami.



Pada sebelah petang pula lebihkurang jam 5:15 petang, kami telah pergi ke Dataran Langkawi dan merakam kenangan di sini.  Dah sampai di sini, rugilah jikalau tidak bergambar di Dataran Langkawi ni, kannn...  






Inilah gambar yang paling penting.  Gambar yang melambangkan kemegahan Pulau Langkawi itu sendiri. Untuk pengetahuan Iman, sewaktu ini Iman berumur 9 tahun dan Hayfa pula berumur 5 tahun..  Jikalau opah dah tak ada nanti, kalau Iman rindu opah, Iman bacalah cerita cerita opah di blog ini, yek..

Setelah kami selesai bergambar di sini, lebihkurang jam 6:30 petang, kami bergerak pulang ke HIG Apartment Homestay.   Sebelum itu, kami singgah di sebuah gerai makan tepi laut dan makan malam di situ terlebih dahulu.  Kami makan malam awal sebab malas nak keluar lagi.

Lebihkurang jam 7:15 malam, kami sampai di HIG Apartment Homestay tersebut.  Kami masing masing sudah keletihan.  Aku bersiap mandi dan hendak melaksanakan solat Maghrib.  Sedang aku berada didalam bilik tidur dan bersiap hendak solat, tiba tiba terdengar loceng pintu Apartment kami dibunyikan sebanyak 2 kali.  Cucu aku memanggil ayahnya  dan memberitahu bahawa loceng pintu berbunyi.  Didalam hati aku berkata, "janganlah kome bukak".  Belum sempat aku nak bersuara, menantu aku sudah membuka pintu tersebut dan katanya, "tak ada orang pun".

Aku memang sudah rasa tidak sedap hati apabila terdengar loceng pintu berbunyi di bunga senja begini, tetapi mujurlah tiada apa-apa yang berlaku sepanjang berada di Apartment ini. Alhamdulillah.

Kita sambung cerita di Bercuti ke Pulau Langkawi (Part 2) pulak nanti, yek..  Pada hari kedua, banyak juga tempat yang kami lawati, dan yang lebih menghairahkan adalah menaiki Skycab.

Sampai berjumpa lagi.. 

Rabu, 15 April 2020

KAMI (Part 3)_2018


Assalamualaikum. Rasanya tidak terlalu lewat untuk aku mencoretkan kenangan keluarga di sini.  Pada bulan April, terdapat dua hari sejarah didalam keluarga iaitu Ulangtahun Hari Kelahiran  cucuku bernama Nur Iman Qaisara (06/04/2018) dan anak keduaku, Nur Fitriah (28/04/2018). 

Sepertimana bulan yang lepas, pada kali ini, kami  telah meraikan Sambutan Ulangtahun Harilahir Nur Iman Qaisara dan Nur Fitriah secara kolektif  pada 23/04/2018.  Aku amat berharap agar  kesemua ahli keluargaku  dapat pulang berkumpul di rumah ku, namun, apakan daya suamiku dan menantu sulongku sebok dengan urusan mereka masing-masing.   Mereka tidak dapat pulang ke rumahku pada hari tersebut.

Maka, kami masak yang ringkas-ringkas aje.  Anak sulong ku telah memasak Nasi Ayam kegemaran anak-anaknya itu.  Nyum nyum...nasi ayam dan sambalnya sangat sedap. 

Memandangkan korum untuk meraikannya tidak ramai, maka kami telah menjemput jiran yang tinggal bersebelahan  rumahku iaitu Ejad dan isterinya turut bersama-sama meraikan makan malam pada malam ini.




Sebaik kami selesai makan malam@nasi ayam sepertimana hidangan yang diatas itu, kami pun berkumpul di satu sudut yang mana anakku, Nur Fitriah dan cucuku, Nur Iman Qaisara berserta dua orang lagi cucu-cucuku, yang menyebok-nyebok memeriahkan suasana mengiringi mereka untuk memtong kek sambil menyanyi "Happy Birthday To You".   Lihatlah gambar mereka di belah kanan, yang penuh keceriaan. 





Selepas memotong kek, kami telah mengambil beberapa keping gambar untuk dijadikan kenangan buat keluarga kami.
                                                            Kek Harijadi Fiefy & Iman

                                                          Hanya KAMI 😊😊😊

                                 Muga kita bertemu di program keluarga kami yang lain pulak.

KAMI (Part 2)_2018


Assalamualaikum kesemua pembaca tegar blog saya ini.

Setelah kami makan sekeluarga pada 22/01/2018, kini didalam bulan Mac, terdapat dua hari ulangtahun kelahiran ahli keluarga yang disayangi iaitu suamiku, dimana tarikh ulangtahun kelahirannya adalah pada  04/03/2018.  Manakala cucuku, Nur Haura Irdina pula pada 16/03/2018.

Maka, aku telah pun bersepakat dengan ahli keluarga yang lain untuk meraikannya. Namun, haruslah kesemua ahli keluarga mempunyai masa untuk menghadiri  acara makan beramai bersama keluarga ini.  Oleh itu, memandangkan anak bongsuku akan balik ke Ipoh untuk berjumpa doktornya pada 26/03/2018, maka aku telah menetapkan bahawa pada 26/03/2018 sebelah malamnya, kami akan makan malam beramai di rumah sahaja.  Lihat gambar sebelah, anak sulongku yang dekorat tuu... simple tapi cantik.

Anak sulongku dan suaminya telah bersepakat memilih menu yang sama semasa makan di  #Port Ikan Bakar Station 18  iaitu menu shell out, sayur, sotong bakar, kepah rebus, cicah air asam dan sup tulang, tetapi pada kali ini, kesemua makanan tersebut dimsak sendiri oleh suami isteri tu (anak sulong ku dan suaminya).  Disamping itu, kami juga memasak bubur kacang hijau untuk manisannya.  Maka, sebelah petangnya, mereka berdua sebok memasak dan aku hanya menjaga cucu-cucu😊

Lihatllah gambar sup ni... Ha, ini sup tulang daging yang dimasak oleh anak sulongku.  Hmmm... sedaap... Semakin hari, anak sulong ku ini semakin pandai memasak, maklumlah jadi suri rumah sepenuh masa, pastu dapat pula suami yang cerewet tentang rasa masakan, mestilah dia up dirinya supaya dia boleh memasak makanan kegemaran suaminya tu....😊

Macam tu lah kalau nak suami sayang, jaga tempat tidurnya, jaga perutnya, haa... masakkan makanan yang suami suka, jangan masak ikut tekak sendiri je  😜😜😜.. 

Setelah kesemua masakan tersebut siap dimasak, mereka pun sebok menyajikannya.   Nah tengok, gambar di sebelah tu... Hmm... sedapkan 😋😋😋.   Aku beranggapan bahawa makan beramai di rumah lebih baik kerana situasi itu lebih mesra dan ceria, dan juga dapat mengeratkan lagi kasih sayang antara satu sama lain didalam keluarga kami, terutamanya terhadap suamiku yang tidak tinggal serumah dengan kami.


Setelah acara makan shell out selesai, suamiku mulai mengantuk kekenyangan.  Hmm... suamiku mula berbaring-baring nak merehatkan badannya. Pada masa itu sudah pun pukul 10:00 malam.  Anak-anakku mula berkata "cepat le, bila lagi...".   Anak sulongku sambung lagi "kalau lambat, nanti bebudak ni tidur".  Suamiku tanya, "nak buat apa lagi".  Maklumlah, suamiku sedang berseronok, berbaring  sambil melayan karenah cucu-cucu yang sedang melinjan badannya  dengan pelbagai  ragam.  Aku menyahut percakapan mereka, lalu aku menyuruh mereka, "pergilah keluarkan kek tu...".

"Selamat Harijadi, Selamat Harijadi, Selamat Harijadi Abie dan Haura, Selamat Harijadi".  Begitulah suara kemeriahan dari kami sekeluarga dengan nyanyian Selamat Harijadi untuk suamiku dan cucuku.
  
Oleh kerana makanan itu kita masak sendiri, maka modal yang sama harga sewaktu kami makan di #Port Ikan Bakar Station 18 itu dapat kami nikmatinya di rumah sahaja. Malahan kuantiti makanan tersebut berlebihan, dan kami dapat menikmatinya sehingga kekenyangan. Suamiku, anak-anakku, menantu dan cucu-cucuku juga sangat  gembira.  Suara keriangan dan wajah wajah keceriaan itu amat terserlah.  Tiada orang lain pada malam ini, hanya KAMI. 



Begitulah keadaan kami, selagi mana kami berpeluang untuk berkumpul dan makan beramai, kami akan cuba menghargai dan meraikan masa itu sebaik mungkin.

KAMI (Part 1)_2018


Asslamualaikum. Salam kasih dan salam sayang kepada yang membaca blog ku ini.

Masa berlalu begitu pantas. Usia juga semakin singkat,  dan perjalanan usia itu semakin dekat ke   penghujungnya  di  dalam  pertemuan  kepada Allah.  Oleh itu, hargailah setiap MASA itu terutama "gathering" dengan keluarga. 

Suamiku tidak tinggal serumah denganku.  Suamiku hanya akan bersama dengan kami untuk beberapa jam sahaja pada setiap kali pulang ke rumahku.  Anak-anakku  pula telah dewasa dan masing-masing telah mempunyai kehidupan yang tersendiri.  Anak sulongku  dan anak kedua telah berkeluarga.  Walaupun anak sulongku tinggal serumah denganku pada masa kini, namun suaminya selalu  berada di luar Ipoh kerana ia adalah seorang Advisor Digital Blockchain dalam pasaran Dinar Dirham.  Anak kedua ku pula walaupun tinggal menyewa rumah yang berdekatan dengan rumahku, namun dia seorang yang sebok mencari nafkah untuk keperluan diri dan anaknya.  Manakala, anak bongsuku pula adalah staff di Butik Planet Pengantin dan tinggal di Kajang, Selangor.

Kesemua mereka sebok dengan urusan masing-masing.  Maka, MASA  itu sangat bernilai buatku.  Setiap kali, apabila kami dapat berkumpul, aku akan cuba sedaya upaya menghargai MASA itu sebaik mungkin dengan cuba mengadakan agenda MAKAN SEKELUARGA.  Aku akan cuba  doing something surprise untuk keluarga hanya untuk menanamkan memori indah dalam diri masing-masing.



Pada tahun ini, suamiku telah mulai bersara dan tidak bekerja sebagai guru lagi.  Wang ganjaran tamat perkhidmatan yang diperolehinya dikongsi bersama dengan kami dengan membelanja kami makan malam.  Pada 22/01/2018, kami telah memilih #Port Ikan Bakar St.18, Ipoh  untuk meraikan makan malam tersebut.



Kami telah memilih menu shellout dan ikan bakar.  Ini adalah kali pertama aku menyertai makan secara shell out ni... Wah..!!! Makan beramai secara berlambak tanpa pinggan 😊😊😊


Shellout yang disediakan memang sedap.  Seefood yang berupa udang, ketam dan cengkerang yang lain seperti lala yang dihidangkan bersaiz besar, kesemuanya digoreng garing dan diselaputi dengan kuah yang sedap, tapi.. tak puas pulak nak menikmatinya.
Kami juga dihidangkan dengan tiga pinggan makanan yang berisi Ikan Bakar berserta dengann sambal pencicahnya.   Wah...!!! Memang sedap.  Anak  keduaku  mengalami penyakit resdung dan tak boleh memakan seafood berlebihan, dan kalau boleh, hendaklah dielakkan daripada kerap memakan seafood, tetapi memandangkan pada malam ini sarat dengan makanan seafood, maka aku kenalah sertakan menu Ikan Bakar untuk dimakan olehnya. 

Selain itu, kami juga memesan sayuran Kailan Ikan Masin, Tomyam dan Sup Daging Kambing. Namun, rasa sup daging ini tidaklah sesedap sup daging yang dimasak oleh anak sulongku.😉😉 

Gambar di bahagian atas ini adalah sup daging kambing yang dimasak di #Port Ikan Bakar Station 18, Ipoh.  Nampak cantik tetapi tidaklah sesedap masakan anak sulongku.  Anak sulongku memang pakar memasak sup daging.  Wah...! Kalau dia memasak sup daging, sudah pasti  sup daging itu akan dimakan berulang kali oleh kami.  Memang sedaappp...😋😋😋  

Seterusnya, setelah kami selesai menikmati makan malam shell out, kami membuat surprise untuk suamiku iaitu Abie mereka dan juga menantu sulongku.    Cuba teka... kamibuat apa?

Kami meraikan Hari Pesaraan suamiku yang telah pun mula bersara pada Januari 2018 dan juga Ulangtahun Harijadi menantu sulong ku secara advance kerana ulangtahun harijadinya adalah pada 23/01/2018.

Pemilik kedai #Port Ikan Bakar Station 18 Ipoh ini sangat sporting.  Dia turut meraikan majlis kami dengan membantu mengambil gambar-gambar kami sekeluarga.  Malam ini sangat bahagia sekali buat kami.   Yesszz.... Kami telah membeli sebuah kek yang khas untuk mereka berdua, suamiku dan menantu sulongku sempena Hari Pesaraan Suamiku dan Harijadi Menantu Sulongku.



Okaylah, cukup disini dahulu penceritaanku pada kali ini.  Nanti aku sambung di episod yang lain pula.

Khamis, 5 Mac 2020

Perginya adik bongsuku


Aku:   Assalamualaikum.  Mak nk balik ipoh 2 mggu, pastu mak harap adek e leh anto mak ke
           Kuantan. Boleh ker?

Adikku:  Inshaa allah, nnt kami usahakan.

Begitulah perbualan diantara aku dengan adik bongsu ku melalui wasap di pagi itu.  Sebenarnya, dia sangat teruja untuk berjumpa dengan emak aku yang sedang dalam perjalanan balik dari Kuantan ke Ipoh. Dia teruja nak bawa emak aku bermalam di rumahnya yang baru selesai  diubahsuai ("renovation").

Mengimbas kembali kisah 42 tahun yang lalu.  

Bapa aku mengubahsuai rumah kediaman kami. Apabila rumah tersebut siap diubahsuai, dan setelah kami menduduki rumah itu hampir 2 tahun, tiba-tiba pada 1/5/1977  bersamaan hari Sabtu, jam diantara waktu maghrib, emak aku telah dimaklumkan bahawa apak aku yang bermotosikal telah terlibat didalam satu kemalangan jalanraya. Bapa dirawat di  Hospital Besar Ipoh.  Tidak ada kecederaan yang jelas kelihatan melainkan kecederaan di bahagian kepalanya.  Apak dimasukkan ke wad selama 3 hari dan  pada 3/5/1977, apak yang berumur 40 tahun  telah  meninggal dunia.  Tatkala itu, usia adik bongsu aku baru 3 tahun. 

Kini, bagaikan satu tragedi apabila kisah hidup 42 tahun yang lalu berlaku didalam keluarga adik bongsu aku.      

Di suatu petang hari Jumaat bersamaan 25/10/2019, di hujan renyai-renyai, aku mendapat berita daripada adik iparku bahawa adikku kemalangan jalanraya  di Tapah lalu membawa kepada kematian.  Aku tersangat terkejut, kelu, terduduk dan tergamam seketika. Aku terlalu sedih. Aku meraung, namun tiada air mata.  Apabila aku bertenang, barulah air mataku mengalir tanpa henti. Menangis...menangis dan terus menangis tanpa suara.. 😥😥😥

Aku pujuk hati dan bertenang.  Kemudiannya, aku bergegas ke rumah Silibin untuk menjemput abang sulong ku pergi kerumah arwah adik bongsu ku.


Pada jam lebihkurang 11 lebih di waktu malam Sabtu, jenazah arwah adik bongsu ku sampai di rumahnya yang baru siap diubahsuai itu.   Menurut isterinya, arwah berkesempatan bermalam selama 2 malam di rumah yang telah diubahsuai itu.  Katanya lagi, arwah sangat berpuashati dengan dekorasi ubahsuai rumahnya itu.  Namun, pada malam ketiga, adik bongsu ku pulang dan bermalam di rumah kesayangannya itu sebagai mayat.😭😭

Umur adik bongsu ku semasa kematian adalah 45 tahun.  Wajahnya senyum dan wangi je...

Banyak kenangan yang aku nak ceritakan tetapi tidak terkesampaian.  Dia adalah adik bongsu yang sangat rapat dengan aku sejak dia dilahirkan.






Tenanglah engkau di sana sayang adikku sayang. Muga rohmu dicucuri rahmat dan engkau dikumpulkan bersama dengan orang yang beriman.

Rabu, 4 Mac 2020

Happy Birthday Suamiku



Di waktu senja hari Jumaat bersamaan 28/02/2020, aku dikhabarkan dengan berita kematian emak mertuaku yang telah berusia 83 tahun.   Beliau telah uzur dan tidak dapat bergerak bebas dengan sendirinya. Kudratnya telah berkurang. Beliau dilayan oleh suamiku dan adik beradiknya dengan sangat baik.  Suamiku akan mandikan emak mertuaku dengan penuh kasih sayang.  Emak mertuaku sangat baik orangnya. Beliau telah menerimaku seadanya sebagai menantu isteri kedua kepada anaknya yang bernombor 6 walaupun pada awalnya dia sangat marah semasa beliau mengetahui pernikahanku dengan anaknya pada tahun 2005 😊😊

Ku abadikan kisah ini bagi mengingati tarikh pemergiannya supaya dapatlah dikenang kemudian hari.  Muga roh arwah emak mertuaku dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama dengan orang orang yang beriman.


Pada suatu waktu, pada tarikh ini iaitu 4hb March, 1965 seorang wanita telah memperjuangkan nyawanya untuk melahirkan seorang bayi lelaki yang comel (comel ke... sudah semestinya la kannn...), yang kini beliau telah berumur 55 tahun.  Selamat Ulang Tahun Hari Lahir wahai suamiku. Muga  abang dirahmati Allah dan sentiasa sihat bersama dengan keluarga yang besar @ 2 keluarga.😃😃😃 

Nah kek 🍰🍰🍰🍷

Rabu, 1 Januari 2020

Kasih Berkasih


Kepada siapakah yang hendak dipersalahkan...?

Tidak pernah aku terfikir untuk menjadi isteri kedua, namun itulah yang terjadi ke atas diriku semenjak 20.2.2005.

Ketika aku melihat kebolehannya didalam memantau perjalanan dan kehidupan aku pada setiap hari dan waktu, maka aku berkeyakinan bahawa beliau adalah seorang yang mampu untuk berpoligami. Aku sangat yakin bahawa beliau mampu untuk memberi perhatian, sepenuh kasih sayang dan keadilan terhadap kedua-dua keluarganya. Oleh itu, aku menerima lamarannya dan menjadi isteri yang sah pada 20.2.2005.

Setelah bergelar isteri, kehidupanku seperti biasa saja. Suamiku hanya balik ke rumahku seminggu sekali (bila-bila masa yang beliau rasakan sesuai). Itupun hanya untuk beberapa jam sahaja.

Merata-rata orang mengatakan bahawa isteri kedua beruntung kerana menjadi orang baru dalam keluarga, yang mana si suami akan menghabiskan masa bersamanya sahaja, tetapi semua itu adalah tidak benar belaka. Ia tidak berlaku terhadap diriku. Kehidupan suamiku seperti biasa saja. Dia tinggal menetap dengan keluarga pertamanya. Sepenuh masanya diluangkan untuk bersama dengan keluarga pertamanya. Malahan aku tidak pernah sekali pun merasai nikmat bersalaman/bermaafan dengan suami di pagi Hari Raya Aidilfitri ataupun Aidil Adha pada setiap tahun sehinggalah kini.

Perinsipku pula, sekiranya suamiku berada di rumah keluarga pertama, maka beliau adalah kepunyaan sepenuhnya untuk keluarga pertama. Maka aku tidak akan sekali-kali menghubunginya samada melalui talipon ataupun sms, tugasku hanyalah menunggu dan menerima panggilan talipon daripadanya. Manakala, sekiranya suamiku pulang ke rumah ku, aku akan melayaninya sepertimana wanita lain yang melayani kerenah suami mereka. Inilah rutin kehidupanku sehingga kini.

Aku amat percaya bahawa apa yang kita miliki ini semuanya hanyalah pinjaman semata-mata. Begitu jualah dengan kehadiran suamiku, Allah hanya pinjamkannya buat seketika untuk ku, dan aku tidak perlu tamak untuk memilikinya.

Memandangkan kehidupan suamiku dan aku sama sahaja seperti sediakala, tidak ada yang lebih atau kurang daripada dahulu, sebelum aku menerima lamarannya dahulu sehingga kini, aku pernah bertanya kepada suamiku kenapa beliau hendak bernikah dengan aku dan mempunyai keluarga kedua? Bukankah nanti menyusahkan? Namun, beliau hanya diam dan tidak menjawab persoalanku itu sehingga kini masih tiada jawapannya.

Sebenarnya, aku memang benar-benar tidak faham apakah yang diinginkan oleh suamiku didalam perkahwinan ini sehingga menikahi aku, kerana kehidupan hariannya masih tidak berubah, sedangkan aku pula hanya berpeluang melaksanakan tugas ku sebagai isteri hanya beberapa jam dihujung minggu dan sekali sekala kami bercuti berduaan saja.

Aku juga perhatikan bahawa isteri pertamanya tidak ada apa-apa kekurangan pun.., Cukup sempurna dipandangan mata kasar ku, ini menyebabkan sehingga kini aku sering tertanya-tanya dan pelik, mengapa suamiku masih ingin bernikah dengan aku pada masa itu?

Namun, hari ini barulah aku faham bahawa suamiku hanya ingin memenuhi sedikit ruang kasih yang kosong di hatinya, dan aku berterima kasih kerana dipilih untuk meneguk secebis kasih sayang itu. Terima Kasih Suamiku.

Namun, Wahai Suami ku, jadilah suami yang menyayangi sepenuh hati, dan BERSIKAP ADIL terhadap kedua-dua keluargamy sepertimana yang telah kau janjikan kepada aku ketika menikahi aku, agar kita bersama-sama terselamat daripada azab yang telah dijanjikan Allah kelak. 

Surah An-Nisa'a Ayat 3 dan Ayat 129, dengan jelas Allah telah memberi peringatan terhadap orang-orang yang berpoligami.

Muga kita selamat di akhirat kelak, dan Yang terselamat daripada dipersoalkan oleh Allah kerana telah pun menyampaikan peringatan ini kepada abang.