Ahad, 15 September 2013

..Ibu Mertuaku..


"......kamu kahwin dengan suami orang, itu sebablah emak marah......", dengan nada suaranya yang lembut, masih terngiang-ngiang suara ibu mertuaku ditelinga ini, dapat didengar dengan jelas ketika kami sedang berpelukan penuh mesra dan erat semasa aku mengunjung ke rumahnya di Malim Nawar, Perak untuk berhariraya pada tahun ini.  Kata-kata emak mertuaku itu disambut dengan ketawa kecil oleh Kak Fida, Murni dan Azieda iaitu kakak ipar dan biras ku yang ada bersama pada masa itu. Kata-katanya itu membuatkan aku senyum sendirian sehingga kini kerana kata-kata emak mertuaku itu seolah-olah aku ini pula anak kandungnya.


Pada tahun 2005, ibu mertuaku sangat marah kepadaku kerana aku telah menerima lamaran dan bernikah dengan anak lelakinya yang telah pun berumahtangga. Sewaktu aku menaliponnya pada tahun 2005, aku disergah dengan kata-kata.."...kamu fikir kamu cantik sangat..", dan macam-macam lagi, aku sangat terkejut tetapi aku sedikit pun tidak berasa marah dengan kata-kata itu kerana aku tahu, itu adalah kata-kata yang terkeluar daripada seorang emak yang sedang beremosi marah. Semenjak itu, aku takut untuk menghubunginya. Namun, setelah tahun silih berganti, perkahwinan kami tidak mengganggu pihak-pihak yang terlibat,  jadual kehidupan suamiku tetap seperti dahulu, kasih sayangnya tidak melebih-lebihkan aku dan tidak pula mengurangkan pihak yang satu lagi, semuanya hidup teratur dan lancar, setelah 10 tahun perkahwinanku ini (2015), akhirnya api kemarahan ibu mertuaku yang membara, padam jua dengan sendirinya, dan aku telah beberapa kali mengunjunginya sejak beberapa tahun yang lalu.

bersantai di rumahku -Jan2015  
Kalaulah dahulunya aku seolah dipinggirkan, namun kini ibu mertuaku tidak lagi seperti itu.  Beliau menyambut kedatanganku dengan wajah yang penuh mesra dan gembira. Beliau juga telah membuka hatinya datang ke rumahku. Aku sangat gembira dengan kehadirannya.


Walaupun beliau hanya Ibu mertua, namun tarafnya samalah dengan seorang ibu kandung. Maka perlulah kita menjaga hati dan perasaannya sepertimana kita mengasihi ibu kandung sendiri.


Terimakasih emak kerana menerimaku seadanya. Alhamdulillah.