Ahad, 11 Disember 2016

Redho apa pun jua kerana Allah


Dia mengalami sakit ulser di tekak.  Dia selalu mengalami demam, sekejap elok, kemudian demam lagi. Demamnya selalu berulangan. Dia juga selalu mengadu sakit di bahagian bahu dekat dengan tulang belakang sebelah kiri. Otot di bahagian bahunya selalu kekejangan.  Aku pernah membawanya berjumpa dengan doktor, dan doktor telah memberikan satu temujanji dengan pihak fisioterapi.  Namun, dia hanya ke fisioterapi  selepas sebulan dia mendapat surat tersebut.

Dia sempat menjalani rawatan fisioterapi hanya sekali sahaja. Setelah rawatan dibuat, selang sehari kemudiannya, dia mengalami sakit kepala yang teramat sangat sehingga dia hilang arah kerana tidak dapat menanggung kesakitan tersebut.  Dia membentak bentak dirinya, bercakap pelbagai perkataan seperti orang hilang pedoman.  Dia tidak redho dengan keadaannya itu. Aku menjadi sangat sedih melihatkan keadaannya itu. Aku memujuknya agar bersabar, dan selalu selalulah menyebut nama Allah serta beristighfar agar dengan istighfar itu dapat mengurangkan rasa kesakitannya.

Demamnya berterusan  secara on off, sekejap elok dan sekejap demam.  Tanpa ku sedari, perlahan lahan kaki dan tangan sebelah kirinya tidak boleh bergerak sendiri seakan-akan lumpuh.  Apabila dia berjalan, dia memaut maut, aku mulai perasan.  Dia pula  mengadu dan menunjukkan tangannya yang sudah longlai.  Aku menjadi sangat bimbang.

Pada  20/10/2016, aku mendesak dia untuk mendapatkan rawatan di hospital.  Pada mulanya dia enggan, tetapi kemudiannya pada sebelah malam lebihkurang jam 8 malam, dia bersutuju dan  abang ipar sulong telah mendukung dia masuk kedalam kereta Myvi,  dan kami menghantar dia ke wad kecemasan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.  Setelah beberapa jam dia mendapat rawatan di wad kecemasan tersebut, akhirnya pihak hospital telah memasukkan dia ke Wad 7B.

Memandangkan dia pernah mendapatkan rawatan di hospital ini, lalu, keesokannya pada  21/10/2016, aku telah pergi mencari doktor yang menjalankan rawatan keatasnya sebelum ini, dan aku khabarkan keadaannya itu. Maka, pada sebelah petangnya, doktor tersebut telah datang melawat dia di Wad 7B tersebut.  Keadaan di Wad 7B agak kurang selesa, aku telah memohon untuk mendapatkan rawatan di Wad 5C.  Permohonan kami dibenarkan, dan dia telah dipindahkan dari Wad 7B ke Wad 5C.

Pada 22/10/2016, umurnya tepat meningkat 24 tahun.  Disaat ini dia sedang kesakitan. Ulser ditekak menyebabkan dia susah hendak menelan makanan. Badannya kurus.  Kaki tangan sebelah kirinya melemah dan tidak boleh bergerak sendiri. Bagaimanapun, pada tarikh ini, kami masih meraikan Sambutan Ulangtahun Harilahirnya di hospital ini. Aku belikan dia sebuah kek yang kecil dan meraikannya bersama-sama sahabat sahabatnya yang setia sejak di sekolah lagi. Manakala, kakak-kakak dan abang-abang iparnya pula menghadiahkan dia sebuah talipon bimbit yang sangat diidam-idamkannya selama ini iaitu talipon bimbit bernama Oppo R7.

Para doktor telah memulakan rawatan keatasnya.  Aku diberitahu bahawa bacaan darah merah, darah putih dan darah kuning anakku terlalu rendah.  Dalam masa yang sama, doktor telah membawanya membuat CT Scan di bahagian otak untuk mendapatkan punca-punca dan sebab-sebab mengapa kaki dan tangan kirinya  melemah. Namun, mereka tidak menjumpai apa apa. Mereka tidak berpuas hati dengan keputusan itu. Lalu mereka telah membawanya menjalani imbasan  MRI, dan amatlah terkejut aku apabila aku diberitahu oleh doktor-doktor bahawa ada ketumbuhan tumor di saraf tunjang anak ku. Luluh hati aku mendengarnya. Kecewa dan rasa gentar. Tangisan di dalam hatiku bermula. Namun aku cuba tabahkan hati dengan memberikan senyuman walaupun sebenarnya aku sangat sedih.

Aku diberitahu bahawa dia perlu dibedah untuk membuang tumornya dengan segera dan jika dibiarkan tumor itu akan membesar dan ianya akan menyebabkan bahagian yang lain pun turut rosak, maksudnya mulai melemah.  Bagaimanapun, bacaan darah merah, darah putih dan darah kuningnya perlu stabil.

Para doktor berusaha untuk memulihkan kesihatannya, manaikkan bacaan darahnya.  Doktor yang mengendalikan rawatan ke atas anakku yang dikenali dengan panggilan Dr. Cheng telah memasukkan darah merah dan darah kuning melalui drip ke tubuhnya.  Namun, dia masih demam on off.  Kami diberitahu oleh paksunya yang berada di Sabah bahawa ada jin yang mengganggu dia.  Lalu kami diajar cara mengatasinya dengan membaca kalam Allah.  Alhamdulillah, dengan usaha yang dibuat secara seiring, dia tidak demam lagi. Doktor Cheng ingin menyegerakan pembedahan tersebut.  Lalu dia telah berbincang dengan Doktor Neuro, namun bacaan darah putihnya masih tidak menepati kemahuan Doktor Neuro iaitu hanya 80%.  Pembedahan ditunda lagi.  Doktor Cheng bertambah bimbang kerana kesihatan dia di bahagian kanan mulai meleset iaitu melemah.   Doktor Cheng telah mengambil air sumsum tulang untuk diuji  dan masukkan lagi darah kuning melalui drip ke tubuhnya.  Tarikh pembedahan ditunda sebanyak dua kali, dan akhirnya pembedahan dijalankan pada 10/11/2016.

Sementara menunggu tarikh pembedahan ditetapkan, pergerakan kaki tangan dia di sebelah kanan bertambah meleset, dan kerana tidak berdaya itu, dia telah terjatuh / tersembam dilantai didalam tandas ketika dia cuba berjalan untuk ke bilik mandi.  Aku terkejut besar melihat keadaan itu.  Ketika itu, hanya aku dan dia sahaja yang berada di kawasan tandas itu.  Aku menjerit semahu mahunya. "Ya Allah, anak aku, Ya Allah anak aku, Ya Allah anak aku". Dengan kekuasaan Allah, diberikannya aku kekuatan untuk mengangkat dan mendirikan anakku semula. Dia seorang yang tinggi daripada aku. Tahap telingaku berada di dadanya, aku dapat mendengar degupan jantungnya yang laju. Dia ketakutan. Dia resah. Bimbang dengan tahap kesihatannya yang bertambah meleset. Kasihan dia, terpaksa melalui saat saat getir seperti ini.
 
Sebelum, pembedahan dijalankan, kami telah melalui fasa sedih dimana sewaktu itu kami diberitahu bahawa pembedahan di bahagian saraf tunjang boleh membawa kepada dua keadaan, iaitu bertambah baik ataupun bertambah teruk, mungkin lumpuh seluruh badan, atau menyebabkan kematian.  Luluh hancur hati aku mendengarnya. Aku teramat sedih. Sewaktu aku sedang memandu dan meninggalkan anakku sementara di hospital, aku menangis semahu-mahunya, sehinggalah aku tersedar, bahawa aku tersilap menyayangi manusia melebihi Allah.  Aku menangis teresak-esak memohon keampunan kepada Allah, "Ya Allah, ampunkanlah aku, maafkanlah aku, aku tersilap, menyayangi anakku melebihi engkau Ya Allah, aku redho dengan apa pun yang engkau berikan, aku redho dengan kesakitan anak ku, aku mohon Engkau redhoilah anak-anak ku, aku mohon redho mu Ya Allah", aku terus menerus menangis menyesali diri kerana menyayangi mereka melebihi Allah, sehinggalah Allah mendatangkan keredhoan ke dalam diriku, dan jiwaku kembali tenang.  Anehnya, apabila aku berada di hospital dihadapan anakku semula, anakku berkata dengan senyum, "ibu jangan sedih-sedih, apa pun terjadi selepas ini, redho je la, lagipun kalau Mad tak ada, ibu ada lagi dua" Hati ku benar-benar tersentak, sedih dengan perkataannya yang begitu tetapi aku nampak wajah keredhoan didalam dirinya.  Aku memang ada tiga orang anak tetapi dia lupa setiap anak itu ada perwatakan dirinya sendiri, jikalau apa-apa berlaku keatasnya, aku tidak ada lagi anak yang bernama  Muhammad Iskandar.  Dr Cheng yang mendengarnya pun berkata dalam nada sedihnya, "dia tidak faham, dia tidak faham, kalau ada sepuluh orang pun, semuanya tak sama", begitulah rungutan Dr Cheng kepadaku apabila Dr Cheng mendengar kata-kata anakku  itu.  Kami semua melalui fasa sedih itu dengan tenang, walaupun ada kalanya kami menangis sembunyi sembunyi.

Pada 10/11/2016, pembedahan dilakukan.  Sebelum dia diusung ke dalam Dewan Bedah, aku pesan kepadanya "ingat Allah, ingat ibu, ingat kita nak ke Baitullah bersama-sama, insyaAllah".  Dia senyum, walaupun ada sedikit kebimbangan diwajahnya.  Abinya tidak dapat bersama pada masa itu kerana abinya ada urusan lain. Bagaimanapun, kakak-kakaknya, abang-abang iparnya, ayah kandungnya dan sedara mara sebelah ayahnya berada di situ pada masa itu dan turut menunggunya sehingga pembedahan berakhir dan dia dikeluarkan daripada Dewan Bedah pada pukul 6:00 petang.   Seterusnya, dia dihantar ke Wad ICU di tingkat 6B.   Doktor memantaunya.  Dia sangat bersemangat waja.  Jam 8:30 malam dia telah sedar, dan boleh memberikan arahan kepadaku melalui isyarat tangannya.  Hari berikutnya, dia telah sedar sepenuhnya.  Doktor Ker datang melawatnya, dan pada hari keesokannya, dia telah dipindahkan dari Wad 6B ke Wad 5C semula.

Didalam Wad 5C, para doktor dari kumpulan doktor doktor Neuro, telah datang meneruskan rawatan keatasnya. Pada hari ke sepuluh dari tarikh pembedahannya iaitu 21/11/2016, jahitan dibelakang tengkuknya telah ditanggalkan. Sewaktu dia masih berada di wad, beberapa orang pakar pemulihan fizikal dan pakar fisioterapi telah datang membantunya memulihkan semula pergerakan kaki tangannya.  Manakala, Dr Cheng meneruskan pemantauan keatas "anak emas" pesakit kesayangannya, dengan memberikan rawatan dan perkhidmatannya kepada anakku tanpa jemu.

Selama sebulan setengah, dia berada di hospital, aku cuba untuk tidak balik ke rumah. Aku ulang bekerja ke pejabat daripada hospital. Kekadang aku mandi dan berpakaian di hospital untuk bersiap ke pejabat. Kekadang aku mandi, berpakaian dan bersiap di pejabat sahaja. Aku menemaninya sepanjang malam. Aku tidur di lantai simen beralaskan selimut hospital yang ku lapis-lapiskan supaya menjadi tebal untuk kujadikan tilam.  Aku kerap kali terbangun atau digerak oleh anakku, apabila anakku ingin kencing dan sebagainya.  Tidurku tidaklah selena tidurku di rumah. Aku kerap juga mengambil cuti sehingga aku cuti tanpa gaji untuk menjaganya di hospital.  Namun, aku sedikitpun tidak merasa berat dan terbeban walaupun hakikatnya pada pandangan mata kasar, ianya satu keadaan yang menyedihkan.

Dengan berkat kesabaran para doktor, sifat kedoktoran yang penuh tanggungjawab ke atas pesakitnya, semangat dan kehendak anakku yang kuat dan waja, anakku dapat melalui kehidupannya dengan lebih baik. Pada 29/11/2016, anakku telah sihat dan dibenarkan balik ke rumah. Alhamdulillah, kaki tangannya telah beransur pulih dan boleh bergerak semula walaupun jalannya tidak sesempurna sepenuhnya seperti dahulu setelah ketumbuhan tumor itu dikeluarkan. Kini, kerusi roda yang dibeli oleh abang iparnya hanya diletak di tepi katilnya, begitu juga tongkat yang diberikan oleh sepupunya, kini disimpan dan dia berusaha untuk berjalan seperti biasa.

Namun, pada 05/12/2016, apabila kami datang semula ke hospital untuk rawatan susulan, kami diberitahu oleh doktor bahagian Neuro bahawa ketumbuhan tumor di saraf tunjang itu yang dikenali dengan Cervical Meningioma c3 c4 boleh datang semula, dan kalau dibiarkan ia boleh membesar dan dikatogorikan pesakit barah.  Doktor telah menasihatkan aku untuk membawa anakku mendapatkan rawatan Radioterapi, dan kini kami akan melalui rawatan susulan, dan ujian untuk kami masih ada di hadapan sana.

Walaupun, berita ini sedih apabila mendengarnya, tetapi anakku tenang, dan katanya "ibu, redho je la... Kan Mad dah kata, Mad mati dulu". Aku tahu, sebenarnya di hatinya ada kerisauan dan kekecewaan, namun dia sorokkan perasaan itu, dan kami masing-masing sedih dalam diam dan menangis dalam sembunyi sembunyi.

Begitulah kisah ceritaku selama sebulan setengah ini melalui dugaan hidup yang Allah janjikan kepada ku. Kasihilah mereka, sayangilah mereka tetapi ingat, janganlah engkau menyayangi mereka melebihi kasihnya kita kepada Allah. Kita semua milik Allah.  Allah pinjamkan mereka kepada kita dengan tujuan untuk menguji kita sejauh mana kita  menyayangiNYA, adakah kita melebihkan orang sekeliling kita sehingga kita lupa mereka hanyalah amanah yang Allah beri kepada kita untuk diuji.
"Ya Allah ampunilah dosa-dosa kami.  Amin".