Rabu, 7 Mac 2018

Bercuti ke KRABI, Thailand (Part 5)


HARI KE EMPAT (27/02/2018)

Assalamualaikum.  Hari ini kita nak bercerita mengenai hari terakhir kami berada di AONANG, KRABI, THAILAND.  

Sebelum itu, saya nak bercerita tentang hari semalam.  Kami difahamkan bahawa di Aonang, Krabi ni kaya dengan pelbagai pancake.  Mereka kata rasa pancake di Aonang, Krabi ni sedap.  Kami pun nak mencuba lah,..

Kami telah membeli Banana Pancake Nutella dengan harga 60 Baht (RM7.62), mahal kann... Rasanya biasa aje.  Air kelapa di sini pun berharga lebih kurang 60 - 80 Baht (RM7.62 - RM10.16).  Jadi, saya tak rasa lah nak mencuba air kelapa di Aonang Krabi ni sebab saya tengok biasa aje sepertimana air kelapa di Malaysia.  Di Malaysia pun saya boleh minum dengan harga  yang lebih murah iaitu RM3.00 jer...

Ramai penjual air kelapa yang menjual air kelapa dan jual pancake di pinggir@tepi jalanraya di Aonang, Krabi.. Dimana-mana pun anda boleh mendapatkan minuman air kelapa  dan juga makan pancake kerana ianya mudah didapati. Pancake pula ada pelbagai jenis rasa pancake. Lihat gambar di sebelah dan di bawah ni.  Di bawah itu adalah Mini Pancake yang boleh dibeli dengan harga 20 Baht (RM2.54) untuk 6 keping Mini Pancake daripada pelbagai rasa.

Menurut En Hasri, penduduk di Aonang, Krabi membeli kelapa dari Bangkok dengan harga 5 Baht (RM0.63), tetapi apabila kelapa sudah memasuki Krabi, harga kelapa menjadi 20 Baht (RM2.54). Oleh sebab itu, minuman air kelapa, samada diminum airnya dari dalam buah kelapa atau pun di dalam gelas, harga air kelapa yang djiual meningkat menjadi 60 - 80 Baht. Namun,  menurut kata Encik Hasri lagi, ada banyak sambutan dan permintaan sebab ramai  pelanggan yang membelinya.


Sepertimana pada hari kedua dan ketiga yang lalu, kami masih ada sehari lagi voucher untuk bersarapan di Hasna Palace Restaurant.  Hari ini, kami bersarapan dengan hanya memakan nasi goreng serta minum teh tarik sahaja.


Sebelum kami naik ke bilik hotel semula, kami telah berjalan kaki dan mengambil beberapa gambar di AONANG MUSLIM STREET untuk dijadikan kenangan.


Ini gambar di pintu MASJID AONANG AL-MUNUAWARAH. Setiap hari kami dapat mendengar azan yang berkumandang di Mesjid Aonang AL-Munuawarah ni sebab Hasna Palaca Hotel yang kami diami selama 4 hari 3 malam itu terletak berdekatan dengannya.




Ini wajah anakku yang penuh kegirangan kerana bercuti di Aonang Krabi, Thailand.  Katanya, "seronok bercuti begini, rileks aje.... tidak perlu terkejar ke sana sini sepertimana bercuti mengikut kumpulan-kumpulan pelancong yang ramai tu.." Percutian yang kami pilih adalah  PRIVATE TOUR (Melancong Peribadi) dan percutian cara ini lebih menyeronokkan... Sangat relex and freedom.





Haa... Kita ambil berkat bergambar di sini dulu, yek.. Di sini, kami melihat warga lelaki dan wanita di Aonang, Krabi  ini  seperti  kita juga, ramai yang mengunjung ke Mesjid ini.  Pada sebelah malamnya pula ramai peniaga memenuhi ruang kaki lima di hadapan mesjid untuk berniaga.  Saya juga melihat seorang ahli jawatankuasa mesjid sedang mengutip sewa  tapak daripada peniaga yang berniaga di  Aonang Muslim Street pada setiap malam.  Namun, saya tak pastilah berapa bayaran sewa yang dikenakan itu..

Selesai bergambar, kami naik ke bilik hotel dan kami menghabiskan masa didalam bilik dengan mengemas barang dan beg untuk pulang ke Malaysia.  Tiba-tiba pada jam 12:00 tengahari waktu tempatan (Aonang, Krabi), pintu bilik kami diketuk orang.  Setelah pintu dibuka, kami melihat Cik Toon iaitu pekerja di hotel tersebut sedang berdiri di hadapan pintu sambil memberitahu saya bahawa Encik Hasri sedang menunggu kami di tingkat bawah. Kami pun bergegas turun dengan membawa bagasi  dan  juga semua barang yang dibeli. Sebaik sahaja sampai di bawah Encik Hasri membawa kami ke keretanya.  Saya minta dia tunggu sekejap sebab saya nak beli Green Tea Mix dan kain Songket Thailand di kedai seberang jalan di hdapan Hasna Palace Hotel ni.

Ingat tak... Semalam, kami hanya berjalan-jalan dan langsung tidak membeli apa-apa pun.  Sebenarnya, kami survey harga barang dari satu kedai dengan kedai yang lain.  Harga  barang di setiap kedai tidak sama.  Sebagai contoh, harga Green Tea Mix ni..  Kebanyakkan kedai menjualnya dengan harga 120 Baht (RM15.24)  dan  kain Songket Thailand pula kebanyakkannya dijual dengan harga 250 Bath (RM31.75). Namun, kedai di hadapan Hasna Palace Hotel ni menjual Green Tea Mix dengan harga 80 Baht (RM10.46).   Manakala, kain "Songket Thailand" pula dijual dengan harga  200 Baht (RM25.40).  Saya buat tawar menawar sebelum membeli dan akhirnya saya membeli kain Songket Thailand tersebut dengan  harga 180 Baht (RM22.86) sahaja.
Memandangkan, saya masih ada baki ditangan berjumlah sebanyak 480 Baht (RM60.96), maka saya membeli 2 peket Green Tea Mix dengan harga  160 Baht (RM20.32) dan sehelai kain "Songket Thailand" itu dengan harga 180 Baht (RM22.86).  Setelah saya selesai membeli, saya segera menuju ke kereta dimana Encik Hasri dan anak saya sedang menunggu kedatangan saya.

Memandangkan kondisi anak saya yang tidak boleh terlalu aktif dan cepat letih serta perlu berehat, maka, kebanyakkan masa kami dihabiskan dengan  duduk berehat di bilik hotel sahaja. Anak saya pula bizi upload gambar-gambar yang ditangkap semasa lawatan ke hutan dan ke pulau-pulau. Mujurlah, saya juga bukan kaki shopping, kalau tak, panjanglah muncung ni...

Sepanjang perjalanan hendak ke  KRABI INTERNATIONAL AIRPORT, kami dibawa melalui laluan jalanraya di pinggir pantai dan kampong-kampong, sambil tu Encik Hasri bercerita tentang kehidupan penduduk di Aonang, Krabi, Thailand.  Semasa melalui jalanraya di pinggir  Pantai Aonang, kami terjumpa satu arca Ikan Todak dan kami telah meminta Encik Hasri berhenti disitu dan ambil gambar kami.  Tengok gambar ni... Besar arca Ikan Todak ni...

Kemudian, Encik Hasri bercerita mengenai sebab-sebab adanya Ayam Boy.  Nak tau tak....???  Ayam Boy ni dikatakan mirip kepada ayam KFC.  Di Aonang, Krabi, Thailand, ayam KFC tidak halal, malah di KFC juga ada dijual becon.  Ha... hati-hati yek, jangan suka-suka nak makan KFC di Krabi, Thailand.  Oleh kerana penduduk Islam di Aonang, Krabi ingin makan ayam KFC, maka salah seorang penduduk telah memulakan  perniagaan  ayam  goreng yang hampir serupa dengan keenakkan ayam KFC iaitu AYAM BOY.   Perniagaannya telah difrancaiskan di sekitar Aonang, Krabi, Thailand. Saya tak sempat nak ambil gambar gerai Ayam Boy itu.

Akhirnya, tepat jam 1:00 tengahari waktu tempatan (Krabi), kami sampai di KRABI INTERNATIONAL AIRPORT.  Kami sempat juga bergambar bersama dengan Encik Hasri di pintu lapangan kapalterbang tersebut.

Apabila kami masuk ke dalam, hatiku berdebar apabila melihat begitu ramai orang yang sedang beratur di Kaunter Air Asia yang mana hanya ada  3 kaunter sahaja yang dibuka. Saya agak cemas sedikit pada masa itu.  Bimbang jikalau tidak sempat melepasi Boarding Pass dan tertinggal kapal terbang.  Dup dap..dup dap... jantung saya.  Setelah lama beratur, maka sampai lah juga giliran kami untuk urusan bagasi kami itu.  Kemudian, kami diminta pergi ke Gate 1.  Sekali lagi hatiku berdebar-debar apabila terpaksa beratur panjang untuk melepasi Imigresen di Gate 1, yang mana kaunternya hanya 2 sahaja yang dibuka pada masa itu.  Bagaimanapun, semua urusan dapat dilaksanakan menurut jadual waktu yang ditetapkan.

Kami telah menaiki kapalterbang Air Asia bernombor AK 869 dari KRABI-KL pada jam 2:05 petang (3:05 waktu Malaysia), dan kami sampai  di KLIA2 lebihkurang jam 4:25 petang.  Kami telah dijemput oleh kawan anakku bernama  Afiq dari KLIA2 ke rumah anakku di Cheras.  Kami singgah sekejap di rumah anakku dan kami balik ke Ipoh pada malam itu juga.

Buah tangan yang dapat kami bawa balik hanyalah sehelai T-Shirt untuk setiap ahli keluargaku, iaitu suamiku, 3 orang anak, menantu dan 3 orang cucu  kecuali cucu bongsuku yang baru berusia 6 bulan iaitu Nur Esyal Qarmila, sebab tidak ada T-Shirt saiz kecil yang sedondon untuk Esyal.  Saya juga  membeli sehelai T-Shirt untuk kawan sepejabat ku.

Habis sudah cerita kami mengenai pengalaman kami MELANCONG KE KRABI 4 HARI 3 MALAM yang mana pakej  melancong ini telah diuruskan oleh Cik Syahirah Ismail dari AIDIL TRAVEL & TOURS SDN BHD  yang beralamat di No. 37  &  39, Jalan Lim Bo Seng, 30300 Ipoh, Perak. (No. Talipon: 05-2550303)  Sesiapa yang berhasrat nak melancong, saya mengesyorkan anda bolehlah hubungi mereka ini. 

Inilah kali pertama saya menguruskan sendiri percutian tanpa melibatkan orang lain.  Maksudnya,  saya sendiri yang mengenal pasti pilihan tempat untuk melancong dengan persetujuan anak saya, mencari agen untuk mengurus pembelian tiket dan booking hotel serta jadual lawatan, membuat keputusan terhadap harga pakej yang dipersetujui dengan agen dan segala pembayaran untuk melancong ini  ditaja oleh saya sendiri.  Terima kasih juga kepada Boss saya yang memberi bonus sebanyak  RM4,300.00 pada tahun ini. 

Saya amat berterima kasih juga kepada Cik Syahirah Ismail yang telah menguruskan  Private Tour dan melaksanakan impian saya untuk bercuti dengan anak saya, Muhammad Iskandar Zamri.   Kami sangat berpuas hati dengan segala perkhidmatan yang diberikan kepada kami dan insyaallah, jikalau ada rezeki, kewangan dan kesihatan yang baik, kami akan melancong lagi dan akan cari Cik Syahirah Ismail untuk menguruskannya, Insyaallah.  TAMAT.
  

Selasa, 6 Mac 2018

Bercuti Ke KRABI, Thailand (Part 4)


HARI KETIGA (26/02/2018)

Selesai sudah cerita hari kedua kami berada di Aonang, Krabi, Thailand.  Hari ini adalah hari ketiga kami berada di sini.


Sepertimana semalam, hari ini kami masih bersarapan di Hasna Palace Restaurant.  Sudah menjadi kebiasaan saya, apabila saya bercuti, saya tidak akan pernah tinggalkan kopi kegemaran saya iaitu KOPI MAS AYU PLUS COLLAGEN, minuman sedap dan berkhasiat. Meningkatkan daya  stamina dalam tubuh dan membantu baik pulih organ untuk kesihatan luaran dan dalaman.  Jom awet muda dengan minuman secawan kopi, KOPI MAS AYU PLUS COLLAGEN.  Boleh wsap saya di nombor 017-5922240  kalau nak cuba kopi ni. 😉😉 Beri laluan untuk iklan Kopi Mas Ayu Plus Collagen sikit. He he..Jangan marah ya...


Hari ini kami berdua makan Kuetiau goreng.  Sepertimana yang saya katakan, makanan di Aonang, Krabi, Thailand ni popular dengan rasa masinnya.  Hmm... kalau orang ada darah tinggi, jangan lupa minum jus limau yek...

Didalam agenda yang diaturkan oleh Cik Syahirah Ismail dari AIDIL TRAVEL & TOURS SDN BHD, dan sepertimana yang diberitahu oleh Encik Hasri, Private Tour Guide kami yang berada di Aonang, Krabi, Thailand, pada hari ini, kami berdua akan Joint Tour melawat ke pulau-pulau.  Kami akan pergi ke 4 pulau iaitu Poda Island, Chicken Island, Tub Island dan Moore Island.

Sebelum kami mengikuti lawatan tersebut, pada malamnya, kami telah pun membeli sebuah beg kalis air dan dua buah beg kalis air untuk talipon bimbit.  Kita kena pandai tawar menawar ketika membeli belah barangan di sini, sebab harga barangan di sini boleh tahan mahalnya. 

Beg kalis air yang dijual adalah 390 Bath (RM49.53).  Apabila kita nak membeli, secara otomatik penjual itu akan mengurangkan harga tersebut kepada 350 Bath (RM44.45).  Haa... jangan terpedaya.  Sebenarnya, kita masih boleh minta kurang lagi.  Saya terus tawar menawar dengan si penjual itu, dan akhirnya, si penjual tidak mahu bersuara tetapi dia menunjukkan mesin kalkulator yang ada ditangannya kepada saya dengan nombor 330.  Si penjual tu tak mahu bersuara lagi sebab di kedainya ada ramai pelanggan dari Eropah yang sedang membeli belah barangan di kedainya. Si penjual telah menawarkan harga 330 Bath (RM41.91) kepada saya.  Saya masih berfikir samada perlu beli ataupun tidak, tetapi akhirnya saya beli juga sebuah beg kalis air tersebut.  Manakala beg kalis air untuk talipon bimbit pula, mereka meletakkan  harga 100 Bath (RM12.70)  untuk  satu beg tersebut, dan saya pula dapat membeli dua beg kalis air untuk talipon bimbit tersebut dengan harga 160 Bath (RM20.32) sahaja.

Setelah kami selesai bersarapan, sebuah kereta pelancongan telah datang menjemput kami, lalu  kami dibawa ke pantai untuk mendaftar diri (saya tak ingat lah nama tempat tu).  Kemudiannya, kami berdua diberikan sticker bernombor  007.   Haa.... dapat nombor James Bond you, he he... Kami disuruh menunggu seketika.  Lebih kurang 15 minit berlalu, nombor 007 dipanggil oleh seorang wanita,  Setiap daripada kami yang mempunyai nombor 007 tersebut diminta berkumpul di satu tempat.  Terdapat seorang Tour Guide wanita memperkenalkan dirinya dengan nama Da, nama penuhnya Fareeda. Dialah Tour Guide yang akan menjadi ketua kami untuk lawatan ke pulau-pulau tersebut.  Kumpulan Joint Tour ini terdiri daripada  2 orang lelaki Eropah, seorang wanita dari Peru, Brazil, 3 orang mungkin dari Negara China, dan 9 orang yang datangnya dari Negara Thailand sendiri.  2 orang lelaki Eropah tu tidak turut bersama  semasa bergambar kerana mereka dah hilang entah ke mana...  

Didalam pakej untuk ke pulau-pulau, pelancong diberi dua pilihan samada hendak menaiki Speed Boat (bot laju) ataupun Long Tail Boat  (bot panjang).  Memandangkan, kami pernah menaiki Speed Boat di Malaysia, maka saya memilih untuk menaiki Long Tail Boat. Pelancong juga dikenakan bayaran sebanyak 400 Bath (RM50.80) setiap seorang, tetapi kami berdua tidak perlu bayar lagi sebab agen kami, Cik Syahirah Ismail dari AIDIL TRAVEL & TOURS SDN BHD telah pun menguruskannya, dan sepertimana yang saya beritahu semalam, bayaran lawatan kami telah pun dikira didalam jumlah RM1,503.00 setiap seorang itu.

Selepas Fareeda selesai memberikan taklimat mengenai perjalanan dan keselamatan kami ketika menaiki bot dan menikmati pemandangan di pulau-pulau, kami diminta pergi ke bot pilihan kami.  Kami melalui pasir-pasir pantai yang sangat halus, putih dan bersih.  Pasir-pasirnya amat berbeza daripada pasir-pasir di pantai kita.  

Destinasi lawatan kami yang pertama adalah ke  RAILAY BAY  yang terdapat gua Phra  Nang Cave di pulau tersebut. Menurut Fareeda, ramai yang datang ke sana menanam niat/hajat untuk mendapatkan jodoh.   Kami  diberikan  masa  selama  40 minit  untuk bergambar dan melawat gua  Phra  Nang Cave.  Kami tidak dibenarkan mandi.  Maka, kami berdua hanya bergambar dan langsung tidak pergi ke kawasan gua tersebut.  Di kepulauan ini tiada penempatan.  Hanya kilauan batu-batu dan pasir yang memutih serta dipukul ombak dengan air jernih yang kelihatan kehijauan.  Pulau yang kelihatan sangat indah dan cantik.  Tidak pernah jemu memandang kecantikan alam di sekitar kepulauan ini.  Persisiran pantai  dengan kilauan tanah yang memutih. Bersih, sangat bersih.   Apabila kami berada ditengah lautan, kami dapat melihat warna air yang berasingan antara warna kebiruan dan kehijauan, sangat menakjubkan.  SUBHANALLAH, Maha Besar Allah Yang Maha Mencipta, betapa cantiknya senario di pantai ini, tidak dapat diucapkan dengan kata-kata lagi. Kami bergambar sepuasnya.  Haa... pemandangan di belakang itu adalah gua Phra Nang Cave.

Memandangkan di kepulauan ini tidak ada penempatan, maka mereka  datang  membawa barangan seperti makanan dan minuman untuk dijual kepda pengunjung atau pelancong dari atas Long Tail Boat  sahaja.  

Selesai 40 minit, kami menaiki semula Long Tail Boat dan menuju ke CHICKEN ISLAND, TUB  ISLAND  dan  MOORE  ISLAND.

Semasa perjalanan didalam bot itu, kami dibawa melalui CHICKEN ISLAND.  Di sini, saya percaya tidak ada penempatan dan keadaannya hanya sebuah pulau bergunung yang  berbatu batu sahaja.  Oleh sebab itu, Chicken Island bukan tempat persinggahan.  Bagaimanapun, pemandu Long Tail Boat berhenti seketika di perairan laut berdekatan dengan Chicken Island kerana memberi peluang kepada kami untuk bergambar.  Sempatlah kami bergambar seperti ini.  Tengok gambar di bawah ni, perasan tak gunung@pulau  di belakang gambar kami tu.., rupa bentuk mukabuminya menyerupai seekor ayam., kan... Ha.. Itulah pulau yang digelar dengan nama Chicken Island.


Kami singgah di satu pulau, tapi saya tak pasti pulak namanya apa, kemungkinan  TUB ISLAND, kami singgah selama sejam untuk bergambar dan berjemur.  Cuaca agak panas lah juga.  Alhamdulilllah, sewaktu lawatan ni, cuaca sangat bagus, tidak hujan.  Di sini, kami masih tidak dibenarkan untuk mandi.  Lihat gambar dibawah ni, gambar yang menunjukkan kecantikan alam dan air  lautan di persisiran pantai kepulauan, Aonang, Krabi


Perjalanan seterusnya, kami akan pergi ke Poda  Island.  Semasa dalam perjalanan ke Poda Island, kami dibawa ke satu tempat dan kami dibenarkan turun bot untuk snorkeling.  Inilah buat pertama kalinya saya menggunakan peralatan snorkeling tu..  Saya rasa tak selesa menggunakannya.  Lalu saya mandi tanpa menggunakan peralatan tersebut.  Ada beberapa keping gambar yang dapat diambil.  Lihatlah, gambar di bawah ni, banyak ikan-ikan yang cantik warnanya, sangat jelas kelihatan sebab air di sini sangat jernih. Sangat cantik tempat ni..  Memang tak rugi lah ambil pakej melancong ke Aonang, Krabi, Thailand.


Setelah kami selesai bergembira di sini, kami diminta menaiki Long Tail Boat semula dan kami dibawa ke Poda Island. Pulau terakhir untuk singgah.   Disini kami makan tengahari.  Di pulau ini tidak ada kedai, yek... Joint Tour Guide Fareeda  dan  krewnya telah menyiapkan bekalan makanan untuk makan tengahari buat kami semua.


Beginilah, keindahan dan kecantikan senario di PODA ISLAND.  Pemandangan latar belakang gambar-gambar kami sangat cantik seolah-olah gambar kami seperti sekeping Post Card. 

Program lawatan ke pulau-pulau ini selesai pada jam 5:00 petang, yang mana pada waktu tersebut kami telah pun berada di hotel masing-masing.

Pada malamnya, seperti biasa kami berdua keluar mencari restoran untuk menikmati makanan yang sedap, tapi pada malam ini, pilih punya pilih, kami termasuk ke restoran yang langsung tak sedap masakannya. Minumannya pun, haduish...  Patutlah tak ramai orang yang datang makan ke restoran ni....😏😏😏

Selepas makan, kami cuma berjalan-jalan di Aonang Muslim Street sambil singgah di gerai-gerai menyemak harga makanan dan barangan jualan sahaja, dan juga tangkap gambar la.. Kami datang ke Aonang Krabi, Thailand hanya untuk melancong. Kami tidak menyediakan wang Baht yang lebih untuk membeli belah.  Kami berdua mempunyai hobi yang sama.  Kami hanya suka melihat keindahan dan kecantikan alam kepunyaan Allah yang kita tumpang dan menikmati keindahannya itu.   Selesai sudah cerita untuk hari Ketiga.  Esok adalah hari terakhir kami di Aonang, Krabi, Thailand.  Nanti saya cerita lagi, okay.   Bercuti ke KRABI, Thailand (Part 5)

Isnin, 5 Mac 2018

Bercuti ke KRABI, Thailand (Part 3)


HARI KEDUA (25/02/2018)

Assalamualaikum, kita bertemu lagi.  Hari ini saya nak ceritakan aktiviti Hari Kedua kami berada di Aonang Krabi, Thailand. Menurut itinerari, kami sepatutnya joint tour ke pulau-pulau tetapi kami telah menerima panggilan talipon daripada En. Hasri bahawa kami akan joint tour melawat ke hutan iaitu pergi ke Hot Stream, mandi di Emerald Pool dan menaiki gajah. 

Oops...terlupa nak beritahu, pada hari semalamnya, selepas kami makan malam di Malaysia-Krabi Restaurant, saya sempat membeli dua biji epal dengan saiz sederhana besar berharga 100 Baht, iaitu dengan nilai RM6.35 di Malaysia.  Wow...! Terasa mahalnya.

Okay semalam, tak sempat nak bergambar nak tunjukkan HASNA PALACE HOTEL, KRABI iaitu hotel tempat kami menginap selama 4 hari 3 malam.  Ha... inilah rupanya.  Sebuah hotel yang berkonsepkan Islam dimana tunjuk arah kiblat telah disediakan, dan tak perlulah kita nak bertanya lagi kepada pekerja di hotel tu... Hasna Palace juga ada memiliki restoran sendiri.  

Sebelum kami pergi untuk aktiviti dalam hutan, kami bersarapan di Hasna Palace Restaurant.  Kami makan nasi goreng dan noodle goreng serta 2 cawan teh tarikh.  Sebaik sahaja kami selesai bersarapan, kami dijemput oleh Joint Tour Guide yang tak pandai langsung berbahasa Melayu dan juga tidak pandai berbahasa Inggeris. Ha.. faham-faham le kan.. kita guna bahasa isyarat dan main tulis-tulis aje..  Kami dijemput dengan sebuah van pelancongan.  Selain daripada kami berdua yang berada didalam van Joint Tour itu, terdapat 3 orang lain yang datangnya dari Negara Jepun,  5 orang dari Negara China, dan 4 orang dari negara kita, Malaysia.  

Perjalanan antara satu tempat ke satu tempat yang lain agak jauh juga.  Saya tak sempat nak pastikan jarak jauh kilometer diantara satu destinasi dengan destinasi yang lain itu.   



Tempat lawatan kami yang pertama adalah pergi ke HOT STREAM.  Untuk sampai ke Hot Stream tersebut, kami terpaksa berjalan kaki  yang mengambil masa lebih kurang 15 minit dari pintu gerbang masuk ke kawasan Hot Stream tersebut.  Kami diberi masa selama satu jam untuk berada  di Hot Stream dan menikmati keindahan kawasan tersebut. Kami mendapati airnya sangat jernih dan rasanya panas suam-suam kuku.  Kami sempat merendam kaki untuk rasa tahap kepanasan air tersebut, dan kami sempat juga mengambil beberapa gambar kenangan. 


Inilah tempatnya, HOT STREAM, KRABI. 

Selepas kami menghabiskan masa selama sejam di Hot Stream, seorang lelaki telah datang memperkenalkan namaya sebagai  Mr. Tak.  Kami difahamkan bahawa beliau adalah Joint Tour Guide yang akan menguruskan lawatan kami ke destinasi yang seterusnya, iaitu ke  EMERALD POOL.  Beliau bukan sahaja boleh berbahasa Inggeris tetapi beliau juga pandai mencolek hati pelancong. 

Apabila kami sampai di pintu  gerbang Emerald Pool, kami telah diberi taklimat oleh Mr Tak bahawa kami diberi masa selama satu setengah jam sahaja, iaitu dari pukul  11:00 pagi hingga 12:30 tengahari sahaja.  Untuk memasuki kawasan Emerald Pool, pelancong tidak dibenarkan membawa sebarang makanan.  Jika didapati, ada makanan didalam bag, pelancong tidak dibenarkan masuk atau makanan tersebut terpaksa ditingalkan di luar.  Kami terpaksa berjalan kaki untuk sampai ke kolam Emerald Pool. Terdapat dua pilihan iaitu jika  anda ingin melalui jalan yang disusun batu bata, anda terpaksa melalui jarak 1 kilometer, tetapi jikalau anda memilih berjalan kaki melalui jalan pasir yang berbatu batu, jaraknya adalah 800 meter.  Kami memilih untuk melalui jalan bukit berbatu batu, huh... berpeluh jugalah untuk sampai ke kolam Emerald Pool. 

Apabila kami sampai di Emerald Pool, kami melihat terdapat sungai-sungai kecil yang menghala ke  kolam yang sangat besar dimana airnya jernih kehijauan. Kami memasuki kolam tersebut dan terasa kedinginan airnya.  Kejernihan air itu pula membolehkan kita melihat diri sendiri@kaki kita tatkala  sedang berendam didalam air tersebut.

Lihatlah gambar di bawah ni sewaktu kami telah pun memasuki dan mandi didalam kolam tersebut..... Inilah EMERALD POOL.  Cantik kan....  Walaupun air ini dicemari dengan maksiat, maksud saya, ramai pelancong yang datang mandi manda di kolam ini  dengan pakaian separuh bogel, airnya tetap Allah pelihara, jernih sejernihnya, warna kilauan kehijauan, sungguh menakjubkan.



Kami hanya mandi sekejap sahaja,  dan kemudian kami  berjalan keluar  dari Kolam Emerald Pool.   Sampai  di pintu masuk Emerald Pool tepat pada masanya iaitu 12:30 tengahari.  Kami telah melapor diri kepada Mr Tak dan kami telah dibawa menikmati makan tengahari. 


Setelah selesai menikmati makan tengahari beramai-ramai, kami dibawa ke destinasi yang seterusnya iaitu ke SUMATE KOH LANTA YAI SAFARI.   Ha... Apa kita nak buat di sini..?  Kami nak naik gajah. 


Gambar di sebelah ini hanyalah seekor anak gajah yang sama tingginya dengan kami.  Anak gajah ini ditugaskan untuk membuat persembahan mengenai kemahirannya didalam bermain alat muzik harmonika dan beberapa kemahirannya yang lain.

Kemudian, kami dibawa ke ruang untuk menaiki gajah.  Ha... Gajah yang kami naiki ini benar-benar besar dan tinggi. Berdebar-debar juga hati kami, takut jatuh dari tempat duduknya tu.

Kami dibawa melawat hutan semasa berada diatas belakang badan gajah itu.  Semasa sedang melawat-lawat tu, tiba-tiba gajah tersebut tidak mahu berjalan dan mengalihkan haluannya ke tempat lain.
Aduish.. Risaunya kami. Takut tetiba gajah naik minyak pulak.😊 Rupa-rupanya gajah itu sudah terserempak dengan sekelompok dedaun yang boleh dimakan olehnya. Bagaimanapun, alhamdulillah, kami selamat mendudukinya dan juga selamat turun dari badan gajah itu.  Kami ada membeli gambar ketika kami berada di atas badan gajah tersebut dengan nilai sebanyak 150 Baht (RM19.05).

Untuk memasuki dan melawat ketiga-tiga destinasi diatas adalah dikenakan bayaran, tetapi kami telah membuat bayaran lebih awal dimana kesemuanya telah diurus oleh agen kami Cik Syahirah  Ismail  dari  AIDIL TRAVEL & TOURS SDN BHD dan telahpun dikira  dalam pekej yang saya bayar sebanyak RM1,503.00 setiap seorang itu.

Acara lawatan ke tiga-tiga destinasi itu selesai pada jam 5:00 petang.  Kemudiannya, kami telah dihantar pulang ke hotel masing-masing. Setelah kami dihantar semula balik ke hotel, kami  berdua hanya menghabiskan masa berehat di hotel sahaja.   Pada malamnya, kami turun mencari makan malam dan membeli beberapa helai T-Shirt di Aonang Muslim Street untuk dijadikan kenangan dan dibawa balik ke Malaysia.  Habislah wang saya sebanyak 970 Baht (RM123.19) untuk belian T-Shirt-T-Shirt tersebut pada malam ini.


Malam ni, saya hanya makan nasi goreng dan minum Jus Pisang. Anak saya pula memakan nasi putih berlauk, tak ingat pulak nama masakan tu dan juga minum ais Green Tea.  Harga makanan yang kami makan pada malam ini hanya 240.00 Baht (RM30.48). 

Malam ni, rasa makanannya biasa saja, tetapi minumannya sangat sedap, pekat  menyengat. Lihat gambar dibawah tu.. Jus Pisang dan Ais Green Tea, warnanya pun mengancam...Hmm, yummy....😋😋😋.
Namun, masakan makanan di sini rasanya  sentiasa lebih "Masin".  Mungkin mereka sering menggunakan sos ikan didalam masakan mereka menyebabkan makanan mereka sentiasa rasa masin.  Walau bagaimanapun, setiap hidangan sudah pasti disediakan sepotong limau nipis.  Mungkin kegunaannya untuk menghapus rasa masin itu. Saya agak-agak saja...😊😊😊

Ada banyak lagi yang saya nak ceritakan.  Nantikan saya di episod yang lain, Bercuti ke KRABI, Thailand (Part 4).