Bismillahirrohmanirrohim. Assalamualaikum.
Alhamdulillah, betapa apabila Allah menghendakinya, maka terjadilah apa yang dikehendakinya, dan terlaksanalah impian abahku yang ingin berada di Mekah seketika.
Setelah 14 tahun bapaku meninggal dunia, barulah terbuka pintu hati emak aku menerima lelaki ini sebagai suaminya yang ku panggil "abah". Kami sangat menghormatinya dan kami tidak pernah menganggapnya sebagai bapa tiri, malah perkataan TIRI itu sendiri tidak ada dalam dairi kehidupan kami. Kini, telah 23 tahun abah berada didalam keluarga kami. Syukur kepada Allah, kerana beliau boleh menjaga emak di waktu emak memerlukan teman untuk berbual-bual, dan membantunya di waktu emak sakit.
Pada tahun 2009, dengan rezeki yang disimpan sedikit demi sedikit, dengan izin Allah, emak telah dijemput oleh Allah S.W.T. untuk pergi menunaikan Ibadah Haji di Tanah Suci Mekah. Pada masa itu, emak pergi tanpa abah bersama kerana abah tidak mempunyai kecukupan wang simpanan. Emak hanya ditemani oleh jemaah-jemaah didalam kumpulan yang disediakan oleh Tabung Haji.
Kini, abah berusia 70an tahun. Abah sangat teringin untuk menjejakkan kakinya di Tanah Haram Mekah. Abah menyimpan impiannya. Alhamdulillah, rezeki tanpa diduga. Allah mengaturkan segalanya dengan molek. Di saat abah sangat ingin berada di Mekah, adikku yang bekerja sebagai seorang guru telah berhasrat untuk membawa keluarganya, kedua ibu bapa mertuanya, emakku dan abahku pergi menunaikan UMRAH & ZIARAH di Madinah dan Mekah. Betapa aku turut gembira apabila mendengar berita ini.
Maka, satu tarikh telah dipilih. Pada 11-12-2014, mereka bersiap untuk melaksanakan Umrah & Ziarah melalui agen yang dipilih iaitu Syarikat Andalusia Sdn Bhd. Berseri seri wajah emak dan abah ketika itu. Aku dan semua ahli keluarga turut gembira, dan sentiasa mendoakan mereka selamat pergi dan kembali.
Wajah emak dan abah yang berseri seri itu sangat menyenangkan hatiku.
Disamping menunaikan ibadah wajib, ketika mereka berada di Mekah dan Madinah, mereka sempat juga membeli pelbagai jenis jubah, selendang labuh, selendang panjang, tasbih, sejadah, kurma, air zam zam, dan kekacang sebagai buah tangan untuk kami.
Beginilah rupa wajah wajah girang diraut wajah mereka ketika mereka berada di Madinah dan Mekah, yang mana berpeluang untuk berdoa di Jabbal Rahmah, berdoa di belakang Makam Nabi Ibrahim, menjengah Hijr Aswad, dan yang paling istimewa, mereka beberapa kali berpeluang bersolat, berdiri dan berdoa di Raudhah dan di Makam Rasulullah Nabi Muhammad S.A.W.
Mereka berjaya melaksanakan Umrah dan Ziarah dalam kedaan sihat. Pada 22-12-2014, mereka telah balik ke Malaysia dalam keadaan selamat dengan wajah yang sangat gembira bercampur letih.
Alhamdulillah yang amat sangat, terlaksana sudah impian abahku untuk berada seketika di Mekah selama ini.
Syukur kepadaMu ALLAH. Imipian abahku menjadi nyata.