Sabtu, 12 Mac 2016

Poligami: Suami atau Isteri, siapa dulu tempah ke Neraka?



Assalamualaikum.

Di blogspot "namakumustaqim" tertulis ayat yang mengatakan "untuk menemui kebenaran, manusia perlu kenal kebenaran dan mencarinya di JALAN YANG BENAR.." Sampai-sampaikanlah walaupun hanya sepotong ayat. Aku menulis ni janganlah ada pembaca yang marah, sebab aku hanya menulis tentang hukum Allah.  

Aku meluaskan pembacaan dan aku tertarik dengan tulisan didalam namakumustaqim.blogspot, dan dengan izin, aku ingin menuliskan semula supaya ilmunya itu dapat disampai-sampaikan.  Muga hasil tulisan blogspot "namakumustaqim" dapat dibaca oleh semua orang.

Di awal tulisannya, ia menulis, ramai yang bertanya mengapa pula poligami boleh mengundang kepada neraka, bukankah poligami sunnah Rasullulah.  Benar, sesiapa yang mengamalkan sunnah Rasullullah akan beroleh pahala, syurga.  Tetapi siapa yang boleh memberi jaminan bahawa mereka yang mengamalkan poligami pada hari ini benar-benar mengikut sunnah?

Sebenarnya sama ada kahwin poligami atau tidak, hukumnya adalah harus. Dan setiap yang harus kadang-kadang boleh menjadi wajib, boleh jadi sunat, boleh jadi makruh dan boleh jadi haram.

Bagaimanapun, apabila seseorang itu telah secara rasmi berkahwin secara poligami, suami dan isteri-isteri terdedah kepada dosa yang menghampirkan mereka kepada neraka.  Semua ini adalah berpunca daripada KURANG PENGETAHUAN UGAMA khususnya dalam soal hukum poligami sama ada suami atau isteri.

Di sini disenaraikan kesalahan yang sering terjadi kepada pengamal poligami:

(1)   BERBOHONG

Ada orang berkata, bohong dalam poligami tidak sampai masuk neraka kerana bohong diharuskan untuk menyelamatkan keadaan yang gawat.

Dalam kes ini, siapa yang gawat?  Siapa yang hendak diselamatkan hingga terpaksa mengguna senjata berbohong?    Jelas dalam kes ini, suami berbohong untuk melepaskan dirinya sendiri.  Maka dalam keadaan ini tidak ada keharusan dalam berbohong.  Apatah lagi pembohongan itu dilakukan berpanjangan tanpa henti, tentu berdosalah si suami itu.   Apabila seluruh hidupnya penuh dengan pembohongan, bahagiakah kehidupannya? Setiap detik gerak gerinya dirasakan sedang diintai oleh isterinya.  Maka sebelum dia dimasukkan ke dalam neraka akhirat, hakikatnya dia sendiri telah memasukkan dirinya dalam neraka dunia.

(2)   TIDAK ADIL

Dalam keadaan di atas (Para 1), suami tersebut tidak mungkin akan berlaku adil terhadap isterinya. Ada isteri yang teraniaya di sudut nafkahnya, ada juga isteri yang dicuaikan gilirannya dan ada isteri yang dibiarkan langsung atas alasan nusyuz dan sebagainya.

Bayangkan apa akan jadi kepada suami yang tidak adil kepada isteri-isterinya? Dia bukan sahaja berdosa dengan isterinya kerana tidak berlaku adil, dia juga berdosa terhadap Allah kerana melanggar perintah-Nya supaya berlaku adil. Sekali lagi, dalam kes ini, suami dalam keadaan semakin hampir ke neraka.

Dalam sebuah hadis Rasullullah SAW ada bersabda yang maksudnya, mana-mana suami yang tidak adil terhadap isteri-isterinya, di akhirat nanti dia akan berdiri dalam keadaan senget sebelah.

Berhubung dengan adil, yang paling penting ialah giliran malamnya. Dalam bab itu, ramai suami atau isteri yang tidak tahu, lalu mereka terus melakukan dosa.

(3)   SALAH GILIRAN

Sebenarnya giliran seseorang yang berpoligami adalah berdasarkan 24 jam sehari.  Makanya kalau dia menentukan gilirannya bermula pada waktu asar, maka berakhir tempohnya adalah pada waktu asar esoknya. Berdasarkan itu, jika dia bermalam dengan isterinya pada malam itu, maka esok siangnya adalah termasuk gilirannya juga sehingga asar.  Begitu juga sebaliknya, kalau suami bekerja malam, maka siangnya adalah mula gilirannya.  

Dalam hal ini, kalau suaminya keluar kerja sama ada siang atau malam, maka waktu keluar itu juga dikira masih giliran isterinya itu. Jadi, selagi dalam tempoh giliran isteri itu, suami tidak boleh mengambil kesempatan untuk tidur dengan isteri yang lain.

Dia boleh pergi ziarah isteri itu tetapi dia tidak boleh tidur bersama isteri itu.  Dia boleh menghantar barang atau melihat anak dan isteri tetapi tidak boleh tidur dengnnya. Jika berlaku persetubuhan sedangkan bukan gilirannya, maka perhubungan itu adalah HARAM.  Jika lahir anak persetubuhan itu adalah dikira haram, walaupun tidak sampai kepada hukum berzina.

Perkara inilah yang sering terjadi kepada pasangan poligami yang bermasalah semuanya hendak dirahsiakan. Boleh jadi pada malam Jumaat dia bersama isteri pertama, tetapi pada pagi Jumaat keesokannya dia singgah di rumah isteri keduanya, dan pada kesempatan itu juga dia sempat bersama isteri tersebut. Sedangkan siang hari Jumaat itu adalah masih giliran isteri pertamanya.

Dalam kes ini, isteri pertama tahu suaminya ke tempat kerja, tetapi sebaliknya dia melencong ke rumah madunya. Jadi, selain dia menipu isterinya, dia telah mencuri giliran isteri pertama untuk bersama isteri yang bukan gilirannya. Bayangkan, berapa banyak dosa yang dilakukan oleh suami ketika itu.  Semua ini kalau dia tidak bertaubat, sebaliknya mengekalkan keadaan itu, pasti tempatnya adalah neraka.

SUAMI WAJIB ADIL DIANTARA PARA ISTERI

Setiap isteri berhak mendapatkan hak masing-masing daripada suaminya, nafkah berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain perkara yang diwajibkan Allah kepada setiap suami.

Adil diantara isteri-isteri hukumnya wajib, berdasarkan firman Allah dalam Surah An-Nisaa Ayat 3 dan juga sunnah Rasulullah SAW.  Rasullullah SAW bersabda maksudnya;

"Barangsiapa yang mempunyai dua isteri, lalu dia cenderung kepada salah seorang diantaranya dan tidak berlaku adil antara mereka berdua, maka kelak di hari kiamat dia akan datang dengan keadaan pinggangnya miring hampir jatuh sebelah" 
 (Hadis riwayat Ahmad Bin Hanbal)

(i)   ADIL DALAM MEMBERI NAFKAH

Dalam soal adil memberi nafkah ini, hendaklah si suami tidak mengurangi dari salah seorang isterinya dengan alasan bahawa si isteri itu kaya atau ada sumber kewangannya, kecuali kalau si isteri itu rela.  Suami memang boleh menganjurkan isterinya untuk membantu dalam soal nafkah tetapi tanpa paksaan.

Prinsip adil ini tidak ada perbezaannya antara gadis dan janda, isteri lama atau isteri baru, isteri yang masih muda atau isteri yang sudah tua, yang cantik atau yang tidak cantik, yang berpendidikan tinggi atau yang buta huruf, kaya atau miskin, yang sakit atau yang sihat, yang mandul atau yang dapat melahirkan, kesemunya mendapat hak yang sama sebagai isteri.

(ii)   ADIL DALAM MENYEDIAKAN TEMPAT TINGGAL

Selanjutnya, para ulama telah sepakat mengatakan bahwa suami bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang tersendiri untuk tiap-tiap isteri berserta anak-anaknya sesuai dengan kemampuan suami.  Ini dilakukan semata-mata untuk menjaga kesejahteraan isteri-isteri, jangan sampai timbul rasa cemburu atau pertengkaran yang tidak diingini.

(iii)  ADIL DALAM GILIRAN

Demikian juga, isteri berhak mendapatkan giliran suaminya menginap di rumahnya SAMA LAMANYA dengan waktu menginap di rumah isteri-isteri yang lain. Sekurang-kurangnya si suami mesti menginap di rumah seorang isteri satu malam suntuk tidak boleh kurang.   Begitu juga kepada isteri-isteri yang lain.  Walaupun ada diantara mereka yang dalam keadaan haid, nifas atau sakit, suami wajib adil dalam soal ini.  Sebab tujuan perkahwinan dalam Islam bukanlah semata-mata untuk mengadakan hubungan seks dengan isteri pada malam giliran itu, tetapi bermaksud untuk menyempurnakan kemesraan, kasih sayang dan kerukunan antara suami-isteri itu sendiri.  

Hal ini diterangkan Allah dengan firmannya;

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya, dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya diantara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.  sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir" (A-Quran, Surah Ar-Ruum Ayat 21)

Andaikan suami tidak bersikap adil kepada isteri-isterinya, dia berdosa dan akan menerima seksaan dari Allah (SWT) pada hari kiamat dengan tanda-tanda berjalan dalam keadaan pinggangnya miring.  Hal ini akan disaksikan oleh seluruh umat manusia sejak Nabi Adam sampai ke anak cucunya.

Firman Allah SWT dalam Surah Az-Zalzalah Ayat 7 hingga 8;

"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).  Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)."

Hal ini sesuai dengan apa yang difirmankan Allah SWT dalam Surah An-Nisaa Ayat 129, yang berbunyi;

"Dan kamu tidak sekali-kali akan sanggup berlaku adil diantara isteri-isteri kamu sekali pun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganglah kamu cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awang)".

Selanjutnya Siti Aisyah RA menerangkan, maksudnya;

"Bahawa Rasullullah SAW selalu berlaku adil dalam mengadakan pembahagian antara isteri-isterinya. Dan beliau berkata dalam doanya  "Ya Allah, inilah kemampuanku membahagi apa yang ada dalam milikku.  Ya Allah, janganlah aku dimarahi dalam membahagi apa yang menjadi milikku dan apa yang bukan milikku".

SELAIN SUAMI, ISTERI JUGA BOLEH TERLIBAT DENGAN DOSA DALAM BEBERAPA KES.  ANTARA DOSA ISTERI IALAH:-

(A)   Isteri menghalang suaminya bagi memenuhi giliran pada isteri yang lain.

(B)   Isteri menggauli suaminya padahal dia tahu hari tersebut bukan
       gilirannya.

(C)   Isteri menyekat madunya daripada mendapat manfaat, nafkah dan
        sebagainya.

(D)  Isteri bersangka buruk terhadap suaminya lalu mengintip gerak
       gerinya.

(E)   Isteri bersangka buruk terhadap madunya lalu mengintip gerak-gerinya.

(F)   Tindakan isteri itu menyebabkan madunya hilang hak kenikmatan hidup berkeluarga.

Jika isteri tersebut tidak bertaubat malah meneruskan kesalahan diatas,  mereka memang dijamin neraka, dan kalau dahulunya aku bertolak ansur didalam giliran bermalam, kini aku tidak lagi, biarlah ianya berhitung, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengasihani.

Muga Allah sentiasa melindungi kita daripada situasi yang begini agar kita terselamat daripada azabnya neraka.  Amin.

Jumaat, 11 Mac 2016

Kemuliaan peribadi isteri-isteri Rasullullah SAW


Assalamualaikum.   Memperluaskan pengetahuan mencari ilmu dan sampai sampaikan walaupun sepotong ayat.

Mencontohi peribadi isteri-isteri Rasullullah SAW itu amat indah apabila kita telah berada didalam situasi itu. 

Cerita dari sahabat, pernah apabila seorang ibu yang beriman, AISYAH RA telah difitnah berzina oleh golongan munafiqin yang diketuai oleh Abdullah bin Ubay bin Salul, maka Rasullulah SAW pernah bertanya kepada isteri baginda yang lain iaitu Zainab Bin Zahsy RA yang ketika itu merupakan madu Aisyah RA, tentang pandangannya terhadap tuduhan tersebut.

Lalu jawab Zainab RA, "Aku tidaklah mengetahui tentang Aisyah melainkan kebaikan sahaja".

Kata Aisyah RA terhadap Zainab RA, "Dialah yang selalu menyaingiku di kalangan isteri-isteri Rasullullah SAW tetapi beliau TIDAK memburukkan aku kerana Allah menjaganya dengan sebab kewarakan yang ada padanya". [Riwayat al-Bukhari no. 4750]

Zainab RA boleh sahaja mengambil kesempatan tersebut untuk memburukkan Aisyah RA dan memenangi hati Rasullullah SAW namun keimanan dan kemuliaan peribadi mereka tidak mengizinkan hal yang demikian.  Mereka mungkin bersaing untuk merebut cinta dan kasih Rasullullah SAW sebagai khidmat bakti seorang isteri dan cemburu wanita, namun sama sekali kecemburuan mereka tidak menghalang mereka dari BERLAKU ADIL  dan berkata benar.

Merekalah ikutan para muslimah, tetapi kita bagaimana?