Selasa, 21 Februari 2017

Setiap Hari Adalah Hari Yang Baharu

Assalamualaikum.   Syukur Allah masih sayang dan memberi kehidupan yang baharu kepada kita hari ini.  Setiap hari adalah hari-hari  yang baharu. Bumi yang dipijak adalah bumi yang baharu.  Alam yang dinikmati juga yang baharu.  Setiap perbuatan kita hari ini juga dengan  hisab yang baharu.

Ya Allah, pagi ini rahmat Mu, hujan turun mencucuri membasahi bumi di taman perumahanku dan sekitar Ulu Kinta.  Lebatnya hujan yang membasahi berkumpul berkelompok menjadi banjir. Kami penghuni rumah ini bersiap untuk menjalani kehidupan seharian.  Nur Iman bersiap untuk pergi ke sekolah. Aku pula bersiap pergi kerja. Anak sulongku bersiap hendak ke klinik untuk "medical check-up".   Setelah semuanya bersiap, maka keluarlah kami dalam kehujanan itu dengan menaiki kereta masing-masing.

Jalanraya di kaki bukit taman perumahan ku ini kerap kali berlaku banjir kilat apabila hujan lebat turun berterusan.  Mungkin disebabkan peparitan yang tidak elok, tapi aku hairan, sebenarnya pihak yang berkenaan telah pun menguruskan peparitan tersebut, namun kami penghuni di sekitar Ulu Kinta akan melalui masalah yang sama juga.

Aku sepatutnya sudah berada di pejabat  pada jam 8:30 pagi tetapi hujan yang lebat itu menyebabkan aku tidak dapat melepasi jalanraya yang banjir itu.  Aku memerhati dari kaki bukit taman perumahanku, aku melihat ada banyak kereta berhenti di pinggir jalan sebelah kiri, berbaris  berderetan  dan paras air naik. Aku pandu kereta perlahan-lahan menyisip ke pinggir jalan sebelah kiri juga yang mana airnya agak kurang. Aku ragu-ragu dan masih teragak-agak untuk meneruskan pemanduan ini.

Kemudiannya, aku melihat  ada sebuah bas meneruskan perjalanannya menempuh air banjir tersebut.  Diikuti oleh sebuah kereta Myvi dan sebuah kereta yang lain.  Aku memberanikan diri mengikuti mereka dari belakang. Namun, aku melihat bas tersebut seakan mahu berhenti apabila sampai di pertengahan jalan yang mana air banjir itu tinggi.  Manakala, 2 buah kereta yang mengikutinya juga bergerak perlahan.  Aku memilih untuk menyisip ke tepi  berhenti di pinggiran jalan sebelah kiri semula. Aku telah "stuck" / terhenti  di separuh  jalan yang banjir itu.   Kereta yang aku pandu tidak boleh ke hadapan kerana air banjir yang tinggi, dan aku juga tidak boleh berpatah balik. 

Kemudiannya, ada 2 buah lori melalui banjir itu.  Tidak ada sesiapa pun yang berani mengikutinya dari belakang lori itu apabila melihatkan paras air yang masih berterusan meninggi.  Kereta sudah semakin banyak  bersusun-susun berderetan di belakang ku.

Hujan terus menerus turun dengan lebatnya.  Air naik semakin tinggi dan sudah hampir sama paras dengan ketinggian paras pembahagi jalan di tengah jalanraya  itu.  Aku semakin bimbang. Bimbang melihatkan  air banjir yang semakin meninggi.  Perasaanku mula berkecamuk.  Kaki tanganku menggetar.  Gigil ketakutan. Aku menjadi sangat takut.  Aku menangis.  Perasaanku tak keruan. Aku talipon anak menantu sulongku. Aku talipon ke pejabat.  Aku talipon suamiku.  Aku menangis lagi.   Dalam kebimbangan itu, dalam tangisan itu, aku memohon kepada Allah dengan suaraku yang penuh getar dan tangis, "Ya Allah, aku bersyukur dengan rahmat air hujanMu, namun janganlah Engkau mudharatkannya kerana aku takut, aku takut ada di sini, aku dan mereka yang lain hendak pergi kerja, Engkau hentikanlah hujanMu ini".  

Kemudiannya, dalam tangisan itu aku membaca Ayatul Kursi berulang-ulang kali. Inilah kawanku yang paling setia, yang tidak pernah lekang di mulut dan di hati tatkala aku dalam ketakutan, kebimbangan, dan keresahan. Inilah Dzat yang sering ku amalkan, yang memberikan kekuatan dan keyakinan dalam diri ku untuk meneruskan kehidupan.


Hampir lima ke sepuluh minit berlalu.  Aku melihat air sudah berkurang.  Air di paras pembahagi jalan, aku lihat sudah sedikit menurun.  Kemudiannya, ada sebuah kereta Myvi putih yang dipandu oleh seorang remaja perempuan dengan berani telah mencuba untuk menempuh air banjir yang dilihat masih tinggi lagi di pertengahan jalanraya ini.  Aku perhatikan saja.   Tidak ada kereta lain yang berani mengikutinya.  Hanya dia sahaja.  Dia berjaya melepasi banjir itu.  Aku masih teragak agak, mahu mencuba atau....  Tidak ada siapa lagi yang menuruti jejaknya.  Semuanya masih kaku di situ.  Seterusnya, kereta putih di belakangku pula yang juga dipandu oleh seorang perempuan mencuba nasib untuk menyeberangi banjir ini. Aku perhatikan sahaja. Memerhatikan teknik pemanduannya. Dia juga berjaya.  Hujan masih berterusan walaupun tidak selebat tadi.  Namun, aku bimbang, jikalau  air banjir akan naik tinggi semula.  Aku memberanikan diri.  Aku mempositifkan diri. Bercakap didalam hati, "kereta-kereta tadi dipandu oleh seorang perempuan, tiada penumpang, hanya mereka sendirian didalam kereta mereka, model kereta juga sama denganku, mengapa aku tidak boleh, aku mesti mencuba". Sambil memandu, sambil meneruskan bacaan Ayatul Kursi, dan berserah diri sambil berusaha memandu, akulah pemandu perempuan yang ketiga setelah remaja perempuan yang memandu kereta Myvi putih itu, dengan izin Allah dan sedikit keberanian yang diberikan olehNya, aku dan mereka telah berjaya melepasi banjir itu. Kemungkinan selepas aku, ada kereta lain yang mengikutinya, tetapi hakikat yang sebenarnya air banjir di pertengahan jalanraya itu memang masih tinggi. 

Aku menangis sekali lagi, tapi kali ini bukan menangis kerana takut, sebaliknya aku menangis bersyukur, Allah Maha Melihat, Maha Mendengar, dan aku selamat sampai ke pejabat  pada jam 9:10 pagi ini.  Alhamdulillah.  

Begitulah, pengalaman baharu bagiku hari ini. Setiap hari adalah hari-hari yang baharu.  Setiap hari harus ditambah dengan amalan-amalan yang diberkati dan diredhoi Allah kerana setiap hari itulah amalan-amalan yang baharu, walaupun ianya perkara biasa tetapi itulah HISAB YANG BAHARU.

Okay, aku nak sambung bekerja semula. Assalamualaikum. 

Isnin, 20 Februari 2017

12 Years Together (Our Wedding Anniversary)


" Demi  masa,  sesungguhnya  manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal  soleh,  dan  mereka  pula  berpesan-pesan  dengan  kebenaran  serta berpesan-pesan dengan sabar."

20 Februari berulang lagi buat tahun ini

Ulangtahun pernikahan dan bersatunya kami

To My Lovely Husband, Happy Our Wedding Anniversary

Ya Allah,
 
Aku bersyukur kepada Mu, 12 TAHUN telah berlalu
Engkau telah memanjangkan jodohku bersama suamiku sehingga ke saat ini, kekalkanlah nikmatMu ini keatas kami, dan jadikanlah kami berdua suami isteri di dunia dan akhirat yang bersama-sama menduduki syurgaMu kelak.


Ya Allah,

Andainya suamiku pilihanMu di Arash
berikanlah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya

Andainya suamiku ini adalah suami yang membimbingku di titianMu
kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya

Andainya suamiku ini adalah bidadara untuk ku di syurgaMu
limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala permintaannya

Andainya suamiku ini adalah yang terbaik untukku di duniaMu
peliharalah kata-kataku serta perbuatanku yang menyakit hati dan perasaannya.

Amin YRA.