Khamis, 4 Februari 2016

Perjalanan Kita Dunia Akhirat


Assalamualaikum semua yang membaca terutama ahli keluargaku.

Sudah lama ibu tidak memuatkan tulisan ibu di sini. Hari ini tergerak hati ibu untuk melihat blog ini dan menulis isi kandungan hati ini.    

Disetiap petang hari Khamis, ketika ibu memandu pulang ke rumah dari tempat kerja ibu, akan ibu perdengarkan telinga ibu dengan rahsia di Alam Barzakh yang dikupaskan dan diterangkan oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani melalui corong Radio IKIM - Mauizati.  Amatlah menggetarkan jiwa ibu apabila mendengar suaranya yang menerangkan tentang Sakaratul Maut atau saat kematian.  Amatlah sedih bercampur baur dengan rasa takut apabila memikirkan kurangnya amalan ibu sebagai persediaan untuk ibu / kita  semua  melalui alam kematian, Sakaratul Maut.

Sedikit maklumat yang telah ibu fahami daripada pencerahannya dan sedikit daripada hasil tulisannya, kini ibu tuliskan semula di sini untuk kita bersama-sama memikirkannya dan mengubah diri daripada jahil kepada kehidupan yang lebih baik.

Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani didalam tulisannya memberi pencerahan dan menceritakan;

1.    Kehidupan manusia bermula dari
       -     alam rahim
       -     alam fana
       -     alam barzakh
       -     alam mahsyar
       -     alam syurga @ neraka

2.     Ketika air mani dipancarkan ke dalam rahim, 40 juta sperma berenang masuk dan hanya satu sahaja 
yang  diizinkan  Allah bercantum  dengan ovum untuk membentuk nuftah dan hidup di dalam rahim sehingga 9 bulan.

3.     Ketika didalam kandungan (4 bulan) akan ditiupkan roh dan ditetapkan 4 perkara iaitu;
        -    rezeki
        -    ajal (bila, dimana, bagaimana)
        -    amalan dan kehidupan (kahwin dengan siapa, berapa orang anak, adik beradik)
        -    ahli syurga @ neraka

4.    Walaupun telah ditentukan 4 perkara Qada dan Qadar manusia boleh berubah.

5.    Qada dan Qadar ada 2 iaitu;
       -     qada mubram iaitu qada yang boleh berubah melalui doa
       -     qada muallaq iaitu qada yang tidak boleh berubah. Contoh: 40 hari sebelum kematian.

6.    Kita hidup di alam ini adalah dalam keterpaksaan, dipaksa dan terpaksa.

7.   Kita dipaksa keluar dari alam rahim ke alam fana (dunia).  Alam kanak-kanak. Alam remaja (usia 12-21 tahun). Alam dewasa (22-40 tahun). Alam tua (diusia lebih 40 tahun). Lebih 70 tahun disebut tua bangka.

8.    Masa remaja adalah satu juzuk dari kegilaan.  Lihatlah dunia remaja, percakapan, cara berpakaian kadang-kadang celaru dan gila.  Saat remaja adalah saat kebingungan. Satu alam yang terpaksa dilalui, dari remaja dipaksa menjadi dewasa.  

9.    Hadis nabi ada menyebut setiap manusia Allah berikan ujian sebanyak 99 ujian kematian. Bermula dari bayi hinggalah sebelum mati.  Sehinggalah ujian yang ke 100, maka kamu akan mati.

10.   Sesiapa yang berusia pada umur 40 tahun tetapi dia tidak berubah sikap ke arah yang baik maknanya mereka tidak akan berubah lagi sehingga menunggu talkin dibacakan.

11.    Setiap yang hidup akan merasai MATI. Roh orang beriman adalah seperti minyak yang berkumpul didalam air.  Roh akan berkumpul di kaki untuk ditarik keluar.  Dari kaki ke pinggang, ke perut, bila mana sampai ke perut akan terdengar beberapa urat putus dan bagi lelaki pula akan terasa zakar naik ke atas lalu bagi orang beriman akan mengatakan LA ILAAHA ILLALLAH.  Tapi bagi orang yang tidak beriman akan mengatakan ia cuma kebetulan sahaja, tidak ada apa-apa yang berlaku.

12.     Semua makhluk Allah termasuk haiwan tahu yang roh si mati itu akan masuk syurga @ neraka kecuali jin dan manusia.

13.   Tanda-tanda jenazah itu ahli neraka:
        -     mulut berbuih
        -     wajah masam
        -     najis keluar terlalu banyak ketika sakaratul maut.

14.   Tanda-tanda jenazah itu ahli syurga:
        -     dahinya berpeluh
        -     hidung kembang kempis dan air matanya mengalir
        -     wajahnya lebih cerah ketika sakaratul maut
        -     najis keluar sedikit sahaja.

15.   Sakitnya perempuan yang bersalin itu adalah 1 juzuk daripada 99 juzuk kesakitan kematian.

16.   Kalau boleh, yang memandikan jenazah kita adalah anak-anak kita.  Yang mengkafankan kita adalah anak-anak kita.  Anak kita jadi imam solat jenazah kita.  Maka beruntunglah kita.  

17.    Ustaz Ahmad Dusuki berkongsi dan mengajarkan kita satu doa yang dibacakan oleh anak-anak kepada ayahnya yang telah meninggal dunia. (sewaktu beliau menziarahi jenazah seorang lelaki).

" Ya Allah, waktu mana kami kecil, ayah kami mandikan kami dengan penuh kasih sayang, dengan penuh kelembutan.  Jadi kami mandikan jenazah ayah kami ini, maka Kau ampunkan dosanya, Ya Allah. Waktu mana kami kecil Ya Allah, kami dipakaikan baju oleh ayah kami Ya Allah, tapi kami lempar ke mukanya Ya Allah.  Jadi hari ini, kami kafankan ayah kami denganpenuh kelembutan. Kau ampunkan dosanya Ya Allah.  Di waktu mana ayah kami menjadi imam solat kami dulu, kami lari tak nak solat. Jadi hari ini, kami imamkan solat jenazah ayah kami dan Kau ampunkan dosa-dosanya Ya Allah.  Ya Allah, Kau jadikan kubur ayah kami sebagai taman-taman syurga."

18.    Ustaz Ahmad Dusuki juga berkali-kali mengingatkan kita agar membaca Quran sebelum subuh kerana Quran yang dibaca sebelum subuh akan menjadi peguambela sewaktu kita di alam barzakh  nanti.

19.     Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani meneruskan bahawa Nabi berkata "aku tidak pernah tengok keadaan yang sangat huru-hara seperti di padang mahsyar ini. Siapa yang selamat di alam barzakh, maka selamatlah dia di padang mahsyar nanti".

Begitu banyak ilmu yang bertajuk tentang Saat Kematian yang diperdengarkan oleh Ustaz Ahmad Dusuki.  Wahai anak-anak ibu, marilah kita memperdalamkan ilmu akhirat dan persiapkan diri menuju ke alam barzakh yang amat pasti buat kita nanti.

Muga Allah melembutkan hati kita yang keras dan membuka hati kita yang tertutup.  Assalamualaikum.