Ahad, 11 Januari 2015

Di saat aku memerlukan...


Selepas aku menunaikan Solat Witir didinihari  sepertiga malam, aku telah menyambung semula tidurku di atas katil kesayanganku.  Sambil berzikir, aku memikirkan sesuatu, dan akhirnya aku telah hanyut didalam tidurku.

Kemudiannya, aku, suami dan anak lelaki telah berada di sebuah rumah. Kami sampai sewaktu hujan. Selepas kami meletakkan barang/beg kami di bilik itu, kami pergi ke sebuah restoran yang berada di bangunan yang sama untuk mengisi perut kami yang kelaparan.  Pada masa itu, aku sedang mengecas talipon pintarku di bilik itu.  Makanya, aku telah meninggalkan talipon pintarku itu semasa aku ke restoran tersebut.  Selepas habis makan, kami balik ke bilik, dan bersiap untuk "check-out".

Apabila kami turun untuk keluar dari rumah tersebut, hari masih hujan.  Anehnya, aku lihat ada banyak kasut di rumah tersebut tetapi aku tidak jumpa kasutku. Tak tahu, kemana menghilangnya. Tiba-tiba suamiku bertanya,"dah jumpa kasut?". Aku menjawab "tidak ada" dan suamiku menyambung dengan kata-kata, "emmm..anjing dah bawa lari lah tu..".  Suamiku minta kami cepat, dan kami bersegera pergi kepadanya lalu meninggalkan rumah tersebut. 

Di pertengahan perjalanan, aku teringat talipon pintarku, dan apabila aku mencari carinya, aku amat pasti, talipon pintarku telah tertinggal di rumah itu  Aku telah memberitahu suamiku, tetapi suamiku enggan berpatah balik.  Lalu aku sendiri telah berlari-lari anak berpatah balik ke rumah itu. 

Semasa aku melalui situasi ini, suasana keliling gelap. Aku hanya bertemankan beberapa lampu jalan yang malap.  Aku berjalan kaki sendirian melalui beberapa lorong yang mempunyai beberapa ekor anjing dan menyebabkan aku terpaksa berjalan perlahan-lahan (selamba) kerana aku takut sekiranya dikejar oleh anjing-anjing tersebut. Sampai di penghujung lorong itu, aku bertemu dengan seorang perempuan. Aku memintanya supaya menunjukkan jalan ke rumah tersebut. Perempuan itu bersetuju membawa aku, lalu aku dibawa olehnya melalui satu lagi lorong yang kemudiannya, aku diminta tunggu di pintu pagar sementara perempuan itu masuk ke kawasan rumah itu untuk mengambil talipon pintarku.  Aku menunggunya sangat lama, sehinggalah hari semakin cerah. Aku resah.  Lalu aku pulang ke destinasi di mana suamiku dan anakku sepatutnya menunggu aku, tetapi amatlah hampa apabila dilihat mereka telah tiada.  Sekali lagi, aku menjadi resah, hilang arah, dan tidak tahu bagaimana untuk balik.

Ke kanan salah, ke kiri pun salah, ke depan, ke belakang, semuanya membingungkan aku. Kemudiannya, aku terpandang  beberapa  orang  perempuan di hadapanku. Mereka sedang menunggu bas.  Aku bertanya, berapakah tambang yang diperlukan untuk pergi ke satu destinasi.  Seorang daripadanya telah menjawab, dan aku meminta untuk meminjam wang daripada mereka, tetapi tidak seorang pun yang ingin meminjamkan wang mereka kepada ku. Aku benar benar kecewa. Di saat aku amat memerlukan, aku telah ditinggalkan suami dan anak, dan tidak ada sesiapa yang mahu membantu.  Semuanya memikirkan diri sendiri sahaja.  Aku berlari ke sana, ke mari, hilang arah, sehingga aku menjadi amat letih.

"Astaghfirullah hal azim, Astaghfirullah hal azim, Astaghfirullah hal azim", itulah ayat yang terkeluar daripada mulutku ketika mataku di buka, dan badanku keletihan.

Aku duduk seketika memikirkan cerita didalam MIMPI aku sebentar tadi. Lalu, aku bergegas bangun untuk Solat Subuh dan memohon keampunan daripada Allah ke atas dosa-dosa yang telah aku lakukan selama ini samada sedar atapun tanpa sedar. Sesungguhnya MIMPI ini memberi signal kepadaku agar aku memantapkan hubunganku dengan Allah. Betapa Allah telah menampakkan jika kamu tidak mempunyai simpanan / saham (amalan-amalan bekalan ke akhirat) maka sukarlah perjalanan kamu itu (melalui titian silaturrahim) di sana kelak.

"Ya Allah, sesungguhnya aku telah berdosa kepadaMu. Ampunilah aku. Berkati dan redhoilah kehidupanku di dunia dan akhirat. Kukuhkah iman ku, ahli keluargaku dan zuriat keturunanku. Amin".