Rabu, 1 Januari 2020

Kasih Berkasih


Kepada siapakah yang hendak dipersalahkan...?

Tidak pernah aku terfikir untuk menjadi isteri kedua, namun itulah yang terjadi ke atas diriku semenjak 20.2.2005.

Ketika aku melihat kebolehannya didalam memantau perjalanan dan kehidupan aku pada setiap hari dan waktu, maka aku berkeyakinan bahawa beliau adalah seorang yang mampu untuk berpoligami. Aku sangat yakin bahawa beliau mampu untuk memberi perhatian, sepenuh kasih sayang dan keadilan terhadap kedua-dua keluarganya. Oleh itu, aku menerima lamarannya dan menjadi isteri yang sah pada 20.2.2005.

Setelah bergelar isteri, kehidupanku seperti biasa saja. Suamiku hanya balik ke rumahku seminggu sekali (bila-bila masa yang beliau rasakan sesuai). Itupun hanya untuk beberapa jam sahaja.

Merata-rata orang mengatakan bahawa isteri kedua beruntung kerana menjadi orang baru dalam keluarga, yang mana si suami akan menghabiskan masa bersamanya sahaja, tetapi semua itu adalah tidak benar belaka. Ia tidak berlaku terhadap diriku. Kehidupan suamiku seperti biasa saja. Dia tinggal menetap dengan keluarga pertamanya. Sepenuh masanya diluangkan untuk bersama dengan keluarga pertamanya. Malahan aku tidak pernah sekali pun merasai nikmat bersalaman/bermaafan dengan suami di pagi Hari Raya Aidilfitri ataupun Aidil Adha pada setiap tahun sehinggalah kini.

Perinsipku pula, sekiranya suamiku berada di rumah keluarga pertama, maka beliau adalah kepunyaan sepenuhnya untuk keluarga pertama. Maka aku tidak akan sekali-kali menghubunginya samada melalui talipon ataupun sms, tugasku hanyalah menunggu dan menerima panggilan talipon daripadanya. Manakala, sekiranya suamiku pulang ke rumah ku, aku akan melayaninya sepertimana wanita lain yang melayani kerenah suami mereka. Inilah rutin kehidupanku sehingga kini.

Aku amat percaya bahawa apa yang kita miliki ini semuanya hanyalah pinjaman semata-mata. Begitu jualah dengan kehadiran suamiku, Allah hanya pinjamkannya buat seketika untuk ku, dan aku tidak perlu tamak untuk memilikinya.

Memandangkan kehidupan suamiku dan aku sama sahaja seperti sediakala, tidak ada yang lebih atau kurang daripada dahulu, sebelum aku menerima lamarannya dahulu sehingga kini, aku pernah bertanya kepada suamiku kenapa beliau hendak bernikah dengan aku dan mempunyai keluarga kedua? Bukankah nanti menyusahkan? Namun, beliau hanya diam dan tidak menjawab persoalanku itu sehingga kini masih tiada jawapannya.

Sebenarnya, aku memang benar-benar tidak faham apakah yang diinginkan oleh suamiku didalam perkahwinan ini sehingga menikahi aku, kerana kehidupan hariannya masih tidak berubah, sedangkan aku pula hanya berpeluang melaksanakan tugas ku sebagai isteri hanya beberapa jam dihujung minggu dan sekali sekala kami bercuti berduaan saja.

Aku juga perhatikan bahawa isteri pertamanya tidak ada apa-apa kekurangan pun.., Cukup sempurna dipandangan mata kasar ku, ini menyebabkan sehingga kini aku sering tertanya-tanya dan pelik, mengapa suamiku masih ingin bernikah dengan aku pada masa itu?

Namun, hari ini barulah aku faham bahawa suamiku hanya ingin memenuhi sedikit ruang kasih yang kosong di hatinya, dan aku berterima kasih kerana dipilih untuk meneguk secebis kasih sayang itu. Terima Kasih Suamiku.

Namun, Wahai Suami ku, jadilah suami yang menyayangi sepenuh hati, dan BERSIKAP ADIL terhadap kedua-dua keluargamy sepertimana yang telah kau janjikan kepada aku ketika menikahi aku, agar kita bersama-sama terselamat daripada azab yang telah dijanjikan Allah kelak. 

Surah An-Nisa'a Ayat 3 dan Ayat 129, dengan jelas Allah telah memberi peringatan terhadap orang-orang yang berpoligami.

Muga kita selamat di akhirat kelak, dan Yang terselamat daripada dipersoalkan oleh Allah kerana telah pun menyampaikan peringatan ini kepada abang.