Khamis, 5 Mac 2020

Perginya adik bongsuku


Aku:   Assalamualaikum.  Mak nk balik ipoh 2 mggu, pastu mak harap adek e leh anto mak ke
           Kuantan. Boleh ker?

Adikku:  Inshaa allah, nnt kami usahakan.

Begitulah perbualan diantara aku dengan adik bongsu ku melalui wasap di pagi itu.  Sebenarnya, dia sangat teruja untuk berjumpa dengan emak aku yang sedang dalam perjalanan balik dari Kuantan ke Ipoh. Dia teruja nak bawa emak aku bermalam di rumahnya yang baru selesai  diubahsuai ("renovation").

Mengimbas kembali kisah 42 tahun yang lalu.  

Bapa aku mengubahsuai rumah kediaman kami. Apabila rumah tersebut siap diubahsuai, dan setelah kami menduduki rumah itu hampir 2 tahun, tiba-tiba pada 1/5/1977  bersamaan hari Sabtu, jam diantara waktu maghrib, emak aku telah dimaklumkan bahawa apak aku yang bermotosikal telah terlibat didalam satu kemalangan jalanraya. Bapa dirawat di  Hospital Besar Ipoh.  Tidak ada kecederaan yang jelas kelihatan melainkan kecederaan di bahagian kepalanya.  Apak dimasukkan ke wad selama 3 hari dan  pada 3/5/1977, apak yang berumur 40 tahun  telah  meninggal dunia.  Tatkala itu, usia adik bongsu aku baru 3 tahun. 

Kini, bagaikan satu tragedi apabila kisah hidup 42 tahun yang lalu berlaku didalam keluarga adik bongsu aku.      

Di suatu petang hari Jumaat bersamaan 25/10/2019, di hujan renyai-renyai, aku mendapat berita daripada adik iparku bahawa adikku kemalangan jalanraya  di Tapah lalu membawa kepada kematian.  Aku tersangat terkejut, kelu, terduduk dan tergamam seketika. Aku terlalu sedih. Aku meraung, namun tiada air mata.  Apabila aku bertenang, barulah air mataku mengalir tanpa henti. Menangis...menangis dan terus menangis tanpa suara.. 😥😥😥

Aku pujuk hati dan bertenang.  Kemudiannya, aku bergegas ke rumah Silibin untuk menjemput abang sulong ku pergi kerumah arwah adik bongsu ku.


Pada jam lebihkurang 11 lebih di waktu malam Sabtu, jenazah arwah adik bongsu ku sampai di rumahnya yang baru siap diubahsuai itu.   Menurut isterinya, arwah berkesempatan bermalam selama 2 malam di rumah yang telah diubahsuai itu.  Katanya lagi, arwah sangat berpuashati dengan dekorasi ubahsuai rumahnya itu.  Namun, pada malam ketiga, adik bongsu ku pulang dan bermalam di rumah kesayangannya itu sebagai mayat.😭😭

Umur adik bongsu ku semasa kematian adalah 45 tahun.  Wajahnya senyum dan wangi je...

Banyak kenangan yang aku nak ceritakan tetapi tidak terkesampaian.  Dia adalah adik bongsu yang sangat rapat dengan aku sejak dia dilahirkan.






Tenanglah engkau di sana sayang adikku sayang. Muga rohmu dicucuri rahmat dan engkau dikumpulkan bersama dengan orang yang beriman.

Rabu, 4 Mac 2020

Happy Birthday Suamiku



Di waktu senja hari Jumaat bersamaan 28/02/2020, aku dikhabarkan dengan berita kematian emak mertuaku yang telah berusia 83 tahun.   Beliau telah uzur dan tidak dapat bergerak bebas dengan sendirinya. Kudratnya telah berkurang. Beliau dilayan oleh suamiku dan adik beradiknya dengan sangat baik.  Suamiku akan mandikan emak mertuaku dengan penuh kasih sayang.  Emak mertuaku sangat baik orangnya. Beliau telah menerimaku seadanya sebagai menantu isteri kedua kepada anaknya yang bernombor 6 walaupun pada awalnya dia sangat marah semasa beliau mengetahui pernikahanku dengan anaknya pada tahun 2005 😊😊

Ku abadikan kisah ini bagi mengingati tarikh pemergiannya supaya dapatlah dikenang kemudian hari.  Muga roh arwah emak mertuaku dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama dengan orang orang yang beriman.


Pada suatu waktu, pada tarikh ini iaitu 4hb March, 1965 seorang wanita telah memperjuangkan nyawanya untuk melahirkan seorang bayi lelaki yang comel (comel ke... sudah semestinya la kannn...), yang kini beliau telah berumur 55 tahun.  Selamat Ulang Tahun Hari Lahir wahai suamiku. Muga  abang dirahmati Allah dan sentiasa sihat bersama dengan keluarga yang besar @ 2 keluarga.😃😃😃 

Nah kek 🍰🍰🍰🍷

Rabu, 1 Januari 2020

Kasih Berkasih


Kepada siapakah yang hendak dipersalahkan...?

Tidak pernah aku terfikir untuk menjadi isteri kedua, namun itulah yang terjadi ke atas diriku semenjak 20.2.2005.

Ketika aku melihat kebolehannya didalam memantau perjalanan dan kehidupan aku pada setiap hari dan waktu, maka aku berkeyakinan bahawa beliau adalah seorang yang mampu untuk berpoligami. Aku sangat yakin bahawa beliau mampu untuk memberi perhatian, sepenuh kasih sayang dan keadilan terhadap kedua-dua keluarganya. Oleh itu, aku menerima lamarannya dan menjadi isteri yang sah pada 20.2.2005.

Setelah bergelar isteri, kehidupanku seperti biasa saja. Suamiku hanya balik ke rumahku seminggu sekali (bila-bila masa yang beliau rasakan sesuai). Itupun hanya untuk beberapa jam sahaja.

Merata-rata orang mengatakan bahawa isteri kedua beruntung kerana menjadi orang baru dalam keluarga, yang mana si suami akan menghabiskan masa bersamanya sahaja, tetapi semua itu adalah tidak benar belaka. Ia tidak berlaku terhadap diriku. Kehidupan suamiku seperti biasa saja. Dia tinggal menetap dengan keluarga pertamanya. Sepenuh masanya diluangkan untuk bersama dengan keluarga pertamanya. Malahan aku tidak pernah sekali pun merasai nikmat bersalaman/bermaafan dengan suami di pagi Hari Raya Aidilfitri ataupun Aidil Adha pada setiap tahun sehinggalah kini.

Perinsipku pula, sekiranya suamiku berada di rumah keluarga pertama, maka beliau adalah kepunyaan sepenuhnya untuk keluarga pertama. Maka aku tidak akan sekali-kali menghubunginya samada melalui talipon ataupun sms, tugasku hanyalah menunggu dan menerima panggilan talipon daripadanya. Manakala, sekiranya suamiku pulang ke rumah ku, aku akan melayaninya sepertimana wanita lain yang melayani kerenah suami mereka. Inilah rutin kehidupanku sehingga kini.

Aku amat percaya bahawa apa yang kita miliki ini semuanya hanyalah pinjaman semata-mata. Begitu jualah dengan kehadiran suamiku, Allah hanya pinjamkannya buat seketika untuk ku, dan aku tidak perlu tamak untuk memilikinya.

Memandangkan kehidupan suamiku dan aku sama sahaja seperti sediakala, tidak ada yang lebih atau kurang daripada dahulu, sebelum aku menerima lamarannya dahulu sehingga kini, aku pernah bertanya kepada suamiku kenapa beliau hendak bernikah dengan aku dan mempunyai keluarga kedua? Bukankah nanti menyusahkan? Namun, beliau hanya diam dan tidak menjawab persoalanku itu sehingga kini masih tiada jawapannya.

Sebenarnya, aku memang benar-benar tidak faham apakah yang diinginkan oleh suamiku didalam perkahwinan ini sehingga menikahi aku, kerana kehidupan hariannya masih tidak berubah, sedangkan aku pula hanya berpeluang melaksanakan tugas ku sebagai isteri hanya beberapa jam dihujung minggu dan sekali sekala kami bercuti berduaan saja.

Aku juga perhatikan bahawa isteri pertamanya tidak ada apa-apa kekurangan pun.., Cukup sempurna dipandangan mata kasar ku, ini menyebabkan sehingga kini aku sering tertanya-tanya dan pelik, mengapa suamiku masih ingin bernikah dengan aku pada masa itu?

Namun, hari ini barulah aku faham bahawa suamiku hanya ingin memenuhi sedikit ruang kasih yang kosong di hatinya, dan aku berterima kasih kerana dipilih untuk meneguk secebis kasih sayang itu. Terima Kasih Suamiku.

Namun, Wahai Suami ku, jadilah suami yang menyayangi sepenuh hati, dan BERSIKAP ADIL terhadap kedua-dua keluargamy sepertimana yang telah kau janjikan kepada aku ketika menikahi aku, agar kita bersama-sama terselamat daripada azab yang telah dijanjikan Allah kelak. 

Surah An-Nisa'a Ayat 3 dan Ayat 129, dengan jelas Allah telah memberi peringatan terhadap orang-orang yang berpoligami.

Muga kita selamat di akhirat kelak, dan Yang terselamat daripada dipersoalkan oleh Allah kerana telah pun menyampaikan peringatan ini kepada abang.

Rabu, 14 Ogos 2019

Emak kami



Sebelum panjangkan cerita, kita letak dulu trademark TAK SUKA, JANGAN BACA…!!!

Sejak pemergian abah pada bulan 8/12/2018 yang lalu, emak aku sangat rasa  kesunyian dan kesepian.  Emak aku memerlukan kawan untuk bersembang. Namun, kesemua anak-anaknya bizi dengan hal masing masing.

Kemudiannya, kami mulai terperasan bahawa emak sedang kesepian dan emak perlu kawan bersembang. Memandangkan, kami semua bekerja, maka, pada awal bulan Ramadhan  2019, kami bermuafakat untuk membawa emak ke rumah kami secara bergilir gilir.

Minggu pertama berpuasa di bulan Ramadhan, emak bersahur dan berbuka puasa dengan abang sulongku, Yop Rosli  dan cucunya yang tinggal serumah dengannya. 

Kemudiannya, adik lelaki aku bernama Atan serta isterinya, Ikin telah membawa emak aku ke rumah mereka.  Emak aku tinggal di rumah adik ku itu selama satu minggu.

Kemudiannya, emak aku tinggal di rumah aku pulak.  Kami bersahur dan berbuka puasa bersama-sama.  Pada 25/5/2019, aku telah meraikan emak dengan  program berbuka puasa  di  rumah aku bersama-sama  dengan  adik beradik aku, anak-anak aku dan anak-anak saudaraku.  Suamiku..??? Invisible. 







Seminggu sebelum menyambut Hari Raya Aidil Fitri, emak aku minta dihantar balik ke rumahnya.  Maka, aku hantarkan emak aku balik ke Silibin. Kami semua balik ke rumah emak di Silibin dan kami bermuafakat untuk mencantikkan dinding rumah emak aku dengan memasang Wall Paper. Wah.. Suasana  dalam rumah mak dah nampak seperti rumah baru disebabkan pemasangan Wall Paper itu.

Bagaimana keadaan emak...??? Walaupun kami telah melayani emak sebaik mungkin, Emak masih suka mendiamkan diri daripada berceloteh seperti dahulu.  Emak lebih suka memerhati  tingkah laku kami daripada banyak bersembang.  Perilakunya  juga sekarang ini seperti kanak-kanak.  Emak juga mudah jadi pelupa. Namun, emak tidak berhenti berzikir. Apabila aku bertanya, apa yang emak zikirkan..?  Emak  menjawab; LA ILA HA IL LALLAH.  Kini, emak tinggal di rumahnya dan tidak ikut kami balik lagi.

Sehari sebelum Raya Aidil Fitri @ 4/6/2019, aku telah memasakkan Rendang Daging Masak Hitam dan Rendang Ayam Daun Limau Purut untuk emak. Pada sebelah tengaharinya, anakku, Muhammad Iskandar telah menghantarkan kesemua masakan tersebut berserta beberapa biskut hari raya dan beberapa batang pulut lemang ke rumah emak di Silibin sebagai persiapan juadah untuk berhari raya pada keesokan hari @ 5/6/2019.   

Apabila tiba Hari Raya Aidil Fitri @ Syawal pada 5/6/2019, sepertimana pada tahun-tahun yang lalu, suami aku tak pernah meraikan hari raya bersama dengan aku.  Suami aku  juga  tidak pernah bergilir untuk meraikan raya itu bersama dengan aku. Suami aku memang  tak mampu nak melaksanakannya demi nak menjaga hati dan perasaan Isteri sulongnya itu. Haa…aku nak nasihatkan sikit kepada lelaki-lelaki di luar sana, jikalau kau ada niat nak berpoligami, aku  menasihatkan  Janganlah mencari penyakit..” Sebab engkau tak mungkin mampu nak bersikap adil terhadap isteri-isteri engkau dan engkau hanya akan mewujudkan perasaan  sakit hati kepada para isteri ajer.. Lebih baik kau jaga dan kau miliki seorang isteri jer... Jikalau suamiku terbaca blog ini, Yang minta maaf yek.. Yang tak mengata abang tapi Yang menasihat lelaki lelaki yang teringin nak ikut jejak kita tuu…

Maka, sepertimana di tahun-tahun yang lalu, aku dan anak anak  meraikan  Hari Raya Aidil Fitri di rumah emak aku jer… Kemudiannya, anak-anak aku balik ke Tronoh meraikan Hari Raya Aidil Fitri bersama dengan ayah kandung mereka.  Seharian aku berhari raya di rumah emak aku.

Pada Hari Raya Aidil Fitri @ Syawal yang ke empat, adik aku yang bernama Am telah membawa emak aku tinggal dengannya di Sungai Petani hampir sebulan. Adik aku memberitahu kepada aku bahawa emak tidak ada selera apabila makan di rumah. Maka, adik aku selalu  membawa  emak makan di luar iaitu ke restoran dan gerai.  Emak juga suka jikalau dipelawa  dibawa bersiar melihat pemandangan. Maka, adik aku meraikan emak dengan kerap membawa emak keluar. Ketika  adik aku hendak menghantar anaknya ke sekolah ataupun menjemput anaknya balik dari sekolah, emak pasti tidak ketinggalan, emak pasti dibawa bersama.

Bagaimana tahap kesihatan emak?  Emak adalah seorang pesakit kencing manis dan merupakan seorang pemakan ubat kencing manis, darah tinggi dan kolesterol. Kemungkinan atas kelalaian kami selama ini, dan  juga  oleh kerana emak kerap lupa, maka  emak selalu  terlupa samada emak sudah makan ubat atau belum. 

Ini menyebabkan bacaan gula dalam darah emak tiba-tiba menjadi begitu tinggi iaitu 28 mmol/L. Mujur emak tidak mengalami pra-ketidaksedaran atau pengsan.  Pada 1/8/2019, apabila emak dibawa berjumpa doctor, doctor telah menyarankan bahawa emak perlu dicucuk insulin dan diet pemakanan emak perlu dipantau selama sebulan ini.

Maka, adik ipar bongsu aku bernama Ila telah pergi tutorial  untuk  belajar cara mencucuk insulin di perut emak. Begitu juga kami semua.  Kami semua tetiba menjadi doctor.  Kami perlu menjaga ubatannya @ cucuk insulin di perut emak dan memantau diet pemakanannya. 

Namun emak sangat berselera ketika makan.  Apatah lagi makan makanan yang sepatutnya emak berpantang.  Emak makan durian.  Emak minum minuman air bergas seperti Coca Cola.  Adoihai… emak sangat berselera dan kami tidak mampu untuk melarangnya daripada menjamah semua jenis makanan yang dimakannya itu. 

Pada Hari Raya Aidil Adha @  11/8/2019,  bacaan gula dalam darah  emak menjadi begitu tinggi sehinggakan alat membaca gula tersebut tidak dapat mengesan.   Maka, aku berpesan kepada semua adik beradik ku, supaya sorok semua minuman bergas itu.  Begitu juga dengan makanan lain yang mudah meningkatkan bacaan gula dalam darah seperti pulut  lemang.

Pada hari kedua, Hari Raya Aidil Adha @ 12/8/2019 pula, kami telah bersepakat untuk meraikan emak dengan makan berkelah di bawah pokok rambutan yang rendang  iaitu pokok rambutan  yang ditanam oleh arwah bapa tiri ku semasa hayatnya, yang terletak di halaman rumah emak. 





Kami  menyediakan  makanan  untuk makan  tengahari  berupa  nasi dan pelbagai juadah lauk pauk. Masakan utama adalah Daging dan Ayam Bakar.  Ada rebusan sayur pucuk ubi,  sambal  belacan.  Ada  salad sayuran dan salad buah-buahan. Ada juga Yong Tau Fu yang disediakan oleh Opah Hawa.  Kami juga menyediakan minuman air detox iaitu air lemon  campur dua batang serai tanpa gula atau garam. Suasana berkelah dibawah pepohon pokok rambutan di halaman rumah emak itu sangat menyeronokkan. Sesekali kami disejukkan dengan tiupan bisikan angin sepoi sepoi bahasa. Kami langsung tidak terasa kepanasan matahari ketika berada di bawah pepohonan pokok rambutan yang rendang itu.






Selepas meraikan Hari Raya Aidil Adha pada hari kedua di rumah emak, kami semua balik ke rumah masing masing.  Pada 13/8/2019, kami telah dimaklumkan oleh abang sulong bahawa bacaan gula dalam  darah emak sudah kembali normal iaitu 8 mmol/L.  Wah… Alhamdulillah.

Syukur sesangat.  Hasil daripada sifat keperihatinan kesemua adik beradik, yang memantau diet pemakanan emak dimana adik ku, Wahida telah membelikan susu yang sesuai untuk pesakit kencing manis, dan dia juga berusaha merawat emak secara Syifak.  Nampaknya, emak semakin beransur pulih dan insyaallah, daya ingatan emak mungkin akan kuat semula seperti sediakala.  Amin.

Jumaat, 19 Julai 2019

KISAH SITI HAJAR




MULIANYA SITI HAJAR,


Sejarah menceritakan dia wanita yang berkulit agak gelap, wajahnya tidak secantik madunya Siti Sarah. Menjaga seorang anak bernama Ismail. Mungkin nampak sebagai manusia yang biasa-biasa, tapi luar biasa hatinya.

Di uji dari pelbagai dimensi dan segi. Emosinya di uji dengan hidup bermadu.

Fizikalnya di uji ketika di tinggalkan di padang pasir. Akalnya di uji dengan ikhtiar hidup tanpa bekalan. Jiwanya di uji tawakal, sabar dan sangka baik.

Luar biasanya Siti Hajar kerana dia tidak menyimpan prasangka pun pada suaminya, apalagi sangka buruk pada Allah. Semua persoalan yang datang, tidak mengganggu dirinya. Cinta dan taat pada Allah, membina rasa yang baik pada suaminya.

BAGAIMANA DENGAN KITA

Kita ditinggalkan, sudah rasa sakit,  rasa dendam, marah dan kecewa terhadap suami itu, menambah lagi sakit dan menjejaskan kehidupan kita pada hari ini.

Buanglah  sejauh mungkin rasa sakit yang menyelebungi hidup kita hari-hari.   Biar kita tidak mempunyai suami yang baik, tetapi kita ada Allah yang Maha Baik.

Biarlah Allah yang mengadili para suami dan salah mereka, kerana di akhirat sana, para isteri hanya menunggu di pintu syurga, sedangkan para Suami perlu mengeluarkan satu kaki mereka yang sudah ada di dalam neraka.

Berbahagialah para Wanita yang sedang di uji.

Moga kisah SITI HAJAR  menjadi contoh @ guide kita untuk kita belajar bahawa pengorbanan kita ini sebagai bukti kita cintakan Allah dalam tiap nafas dan langkah di dunia ini.  



Rabu, 10 Julai 2019

R I N D U




Rindu itu adalah
Anugerah dari Allah
Insan yang berhati nurani
Punyai rasa rindu


Rindu pada kedamaian
Rindu pada ketenangan
Rindukan kesejahteraan
Dan juga kebahgiaan


Orang-orang bertaqwa
Rindu akan kebenaran
Kejujuran dan keikhlasan
Keredhaan Tuhannya


Orang mukmin merindukan
Anak-anak yang soleh
Isteri-isteri yang solehah
Keluarga bahagia


Interlude

Para pencinta kebenaran
Rindukan suasana
Masyarakat yang terjalin
Aman dan sejahtera


Merindukan tertegaknya
Kalimah allah di muka bumi
Dan dalam merindukan
Keampunan Tuhannya


Dan seluruh umat itu
Merindukan cahaya
Yang menyinari kehidupan
Rindu kepada Tuhan


Lirik dan lagu: Hijjaz




Isnin, 18 Mac 2019

Hati Seorang Tua



Assalamualaikum. Aku coretkan kisahnya di sini.

HATI SEORANG TUA
--------------------------------

Mengenang kisah semalam, setelah kematian abah pada 08/12/2018, emak mulai merasai sunyi. Biarpun di rumah kediamannya, emak ditemani oleh anak cucunya, namun ia tidaklah sama sebagaimana kehadiran suami di sisinya selama ini.

Kerinduan emak terhadap suaminya sangat jelas apabila emak berkata, "sejak abah kamu tak de, emak rasa sunyi juga".

Namun aku dengan senyum sambil melawak berkata, "ya la... Dah tak de kawan bergaduh, kann... ".

Sambil tersenyum juga emak membalas "ya". Mungkin emak terkenang sesuatu semasa emak bersama abah, sebab tu emak tersenyum. 26 tahun usia perkahwinan emak dengan abah selepas kematian apak yang meninggal dunia di usia muda.

Aku terkenang sewaktu aku kecil dulu, emak akan cuba menghiburkan hati anak anaknya walaupun emak tiada kemampuan kewangan.

Maka, selepas kami makan malam di sini, aku pandu kereta membawa emak meronda@round sekitar Bandar Ipoh. Aku bawa emak meronda ke tempat tempat yang sering dilewati oleh emak dan abah semasa hayat abah masih ada.

Sambil aku memandu kereta, aku bermohon kepada Allah agar emak gembira walaupun layanan yang aku beri ini tersangat sedikit.

Kami berbual bual sambil mengenang kisah emak dan abah yang sering keluar berduaan, bermotoran di Bandar Ipoh ni, aku lihat terpancar cahaya kegembiraan di wajah emak.

Begitulah hati seorang tua yang sering memendam rasa tanpa kita ketahui melainkan kita cuba menyelami untuk mengetahui perasaannya.

Di wajah ini, senyumannya itu ternyata emak sedang kesunyian merindui abah. Namun, emak aku adalah seorang wanita tabah yang sangat aku banggakan.

Sayang emak. Sayang arwah apak dan abah. Muga orang orang kesayangaku ini menduduki syurgamu, Ya Allah. Amin.




                                                                      Aku dan emak


                                                              Abah (Nordin Bin Othman)

                                                        Apak (Mat Wahi Bin Ngah Draoh)