Setelah pembedahan Servical Meningioma c3 c4 dilakukan pada 10/11/2016, anakku Muhammad Iskandar dikehendaki meneruskan dengan Rawatan Radioterapi sebanyak 30 kali di HKL. Satu tarikh telah dietapkan dan pada 1/3/2017, anakku menerima rawatan di HKL untuk Radioterapi dan beliau telah tinggal menyewa bilik di Kuala Lumpur untuk tempoh sebulan setengah.
Dia amat bersemangat semasa menjalankan rawatan di HKL. Dia berusaha untuk pulih dan tingkatkan tahap kesihatannya. Doktor juga telah membekalkan ubat yang mana dia kena makan sehinga kini. Salah seorang daripada kawannya telah mendapatkan pekerjaan untuknya di sebuah Supermarket. Bermula dari situlah, dia mula bekerja dan tinggal di Kuala Lumpur bersama kawan-kawannya. Dari hari ke sehari rezekinya begitu cerah. Dia mendapat kerja baru di Butik Planet Pengantin di Kajang dan dia juga mendapat majikan yang baik. Dia sangat suka bekerja di situ.
Namun kaki kanannya semakin melemah dan dia semakin sukar untuk berjalan. Masalah kesakitan di kaki kanannya itu bermula pada awal Tahun 2018. Dia terpaksa menahan kesakitan dan pada sekitar bulan Oktober 2018, dia terpaksa berjalan menggunakan tongkat.
Oleh kerana kini, dia rasa amat sakit, maka pada awal Januari, 2019 dia telah merujuk masalah kesakitan kaki kanannya di Hospital Kajang, yang mana kemudiannya dia membawa surat dan laporan Sinar-X ke Hospital Permaisuri Raja Bainun di Ipoh. Namun, dia tidak dimaklumkan dengan jelas akan masalah kakinya itu. Aku tidak berpuas hati dengan layanan mereka terhadap anakku, lalu pada 15/01/2019, aku telah membawa anakku ke KPJ Ipoh Specialist dan mendapatkan khidmat nasihat daripada Dr Eskandar.
Dr. Eskandar telah menerangkan kedudukan atau masalah yang dihadapi oleh anakku di tulang kaki kanan itu, yang mana kami diberitahu bahawa sendi atas tulang kaki kanan tersebut telah terhakis akibat terlebih makan ubat Steroid. Berita ini amat mengecewakan hati kami. Aku lihat wajah anakku sangat sedih.
Seterusnya, kami diberitahu bahawa sekiranya kami ingin melakukan pembedahan tulang dan menggantikan besi sebagai sendi baru kaki kanan anakku, kami perlu menyediakan wang bagi kos perbelanjaan sebanyak RM30K. Anakku terdiam seketika. Namun, jiwa seorang ibu, aku tidak pernah berputus asa. Walau apa pun yang sedang aku dengar sekarang ini, aku tetap bersyukur. Aku percaya Allah telah memberi sesuatu tentulah sesuai pada waktunya.
Bagaimanapun, Dr Eskandar memberitahu kami bahawa dia tidak boleh buat keputusan sendiri dan dia memerlukan masa untuk berdiskusi dengan beberapa orang doktor yang lain. Dr Eskandar juga memberitahu bahawa dia akan menghubungi kami semula pada minggu yang berikutnya.
Oleh itu, kini kami hanya menunggu jawapan daripada Dr Eskandar. Sementara menunggu untuk mendapatkan jawapan daripada Dr Eskandar, anakku telah pulang ke rumah sewanya di Kajang.
Kita sambung kisah seterusnya di Part 2.