Assalamualaikum Waramatullahi Wabarokatuh.
Imbas kembali pada sekitar tahun 1990an dimana usiaku sekitar 30an, sewaktu itu kehidupan dalam perkahwinanku kecundang. Pasanganku pada masa itu mempunyai tabiat yang tidak elok dan akhirnya aku memilih jalan hidup sendiri. Namun, bukanlah kisah kehidupanku yang lalu ingin ku ceritakan disini, tetapi aku ingin sampaikan betapa setiap "perkataan" yang kita ucapkan, ianya adalah perkataan yang hidup dan setiap perkataan itu mempunyai peranannya yang tersendiri, maka janganlah kita sewenang-wenangnya mengeluarkan ungkapan atau pun perkataan yang tidak elok. Setiap ucapan daripada mulut kita itu adalah DOA.
Semasa aku masih bersuamikannya (dalam perkahwinanku yang pertama), dia berterusan dengan sifatnya yang tidak elok itu. Aku selalu memberikan tempoh kepadanya untuk berubah dan memperbaiki kelemahan diri. Perkataan yang selalu aku ucapkan serta janji pada diri, "tunggulah, kalau udah 10 tahun pun kau masih begini, aku terpaksa tinggalkan kau". Setelah aku melahirkan anaknya seramai 4 orang (daripada perkahwinanku yang pertama itu), dan setelah 10 tahun berlalu, perkataanku itu menjadi kenyataan/benar. Dengan sedikit kesakitan di hati yang mana aku benar-benar sudah tidak boleh bertahan dengannya, maka aku telah memohon perceraian. Allah mengotakan perkataanku yang aku ucapkan 10 tahun yang lalu, sebelum perceraianku pada tahun 2003.
Setiap kalam Allah (perkataan Allah) didalam Al-Qurannya adalah benar. Mempercayai Al-Quran Kalam Allah adalah iman. Beriman kepada Allah bererti percaya kepada ketentuannya, perjanjiannya, Qada dan Kadarnya.
Sekitar umurku 30an, solatku tidak konsisten, tidak tekun dan tidak sabar dalam melakukan solat. Aku sibok dengan kehidupan dunia sahaja. "Ya Allah, ampunilah dosaku, sifat malas dan kelalaianku pada masa itu, sekarang dan masa depan". Al-Quran juga telah aku abaikan. Sudah lama tidak dibaca, malahan menjadi perhiasan di rak buku sahaja.
Pada suatu hari (tahun 1997), ketika aku menziarahi anak angkat emak aku yang bernama Alias di Tapah, tetiba dia bersuara "Ida, abang tengok, kamu ni ada orang nak buat, nak sihir kamu, dia sihir dijalan laluan kamu keluar masuk rumah itu". Aku tertanya-tanya, siapa? Kenapa begitu? Dia sambung lagi "Pergilah berubat".
Diriku ini sebenarnya tidak mempercayai orang lain melainkan diri sendiri sahaja. Nak suruh aku pergi jumpa orang yang bergelar bomoh, hmm... insyaAllah, tidak mungkin akan berlaku begitu. ("Ya Allah, bimbinglah aku, jangan engkau bolak balikkan hatiku, izinkan aku menceritakan pengalaman ku, agar menjadi teladan kepada mereka").
Sebenarnya, selepas mendengar kata-kata abang angkat ku itu, ada juga perasaan bimbang dan takut, tapi aku takut kepada siapa? Si tukang sihir? Apa aku patut buat? Nak mengadu kepada siapa? Suara hati aku berbisik, "kenapa engkau harus takut kepada Si Tukang Sihir, engkau sepatutnya takut kepada Allah." Aku percaya Allah memberi apa pun permintaan, samada baik atau buruk. Aku berfikir, "Si tukang sihir dengan cara usahanya, dia khurafat, Allah tetap berikan apa yang situkang sihir minta, jadi aku pun harus meminta kepada Allah, insyaallah Allah tolong aku". Aku mulai teringat akan arwah tok aku yang bernama Atan semasa dia masih hidup, dia selalu ingatkan aku dan ajarkan aku, baca Kalam Allah ini untuk selamatkan diri daripada sihir, mudarat dan menjaga keluarga daripada segala bahaya. Ayat apa, yek.....? Aku mula tercari-cari semula buku catatan yang ditulis oleh arwah Tok Atan yang diberikannya kepada aku, tetapi tidak dijumpai. Aku teringat arwah Tok Atan berpesan "bacalah Ayatul Kursi ini, sebab banyak kegunaannya". Ayatul Kursi. Aku tidak tahu pun, yang mana satu Ayatul Kursi. Nak rujuk di mana? Aku sudah lama abaikan hubungan aku dengan Allah, malah aku rasa sudah banyak kali aku menyebabkan Allah murka, tetapi Allah Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang.
Allah mendatangkan ilham tepat pada masanya. Sedang aku memikir, tak semena-mena, anak sulongku menunjukkan satu senarai buku sambil berkata "ibu ada pameran buku di sekolah, ibu nak beli buku tak?". Aku membaca senarai buku sambil melihat harga buku-buku tersebut. Di situ aku terlihat buku yang bertajuk Ayatul Kursi dan Yasin. Tengoklah..., betapa Allah Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang. Dia memberikan sesuatu tepat pada saat seseorang itu memerlukannya. Ayatul Kursi yang aku cari, telah didatangkannya melalui senarai buku yang anakku tunjukkan kepada aku. Lalu aku memesan untuk membeli kedua-dua buku tersebut iaitu Yasin dan Ayatul Kursi. Alhamdulillah, asbab daripada perkataan abang angkatku "ada orang nak sihir kamu" pada tahun 1997 itu, menjadikan aku seorang pengamal Kalam Allah itu sehingga kini dalam apa keadaan jua, kini aku menikmati kebesaran Kalam Allah itu.
Setelah kedua-dua buku (Yasin dan Ayatul Kursi) tersebut dibeli, aku mulai belajar dan mengkaji kelebihan dzat Kalam Allah itu. Aku melancarkan pembacaanku dan perlahan-lahan, aku cuba menghafalnya. Kemudian, aku jadikan Kalam Allah itu sebagai pilihan amalan harian pada setiap solatku mengikut kemampuanku. Bermula dengan membaca surat Al-Fatihah, aku sambung membaca surah Yasin sehingga habis sebanyak sekali.
Kemudian aku teruskan membaca ayatul qursi sebanyak 16 kali.
Setelah selesai menzikir Ayatul Kursi, aku sambung dengan Surah Al-Ikhlas sebanyak 16 kali.
Hasilnya hatiku amat tenang, setiap kesusahan ataupun kegelisahan, Allah leraikan. Selain daripada bersifat REDHO dengan ketentuan Allah, setiap ujian kehidupan, kesakitan dan kesedihan, Alhamdulillah dapat ditempuhi dengan tenang. Tidak sedikit pun menjadi beban atau keresahan melainkan dilapangkan setiap kesusahan, dan hati sentiasa tenang. Semua Kalam Allah didalam Al-Quran itu mendidik, menjadi penunjuk jalan dan penyelamat manusia. Banyak amalan kebaikan yang diajar didalamnya dan boleh dilakukan. Jumlah bacaan / zikir pun boleh dilebihkan, tetapi aku menjadikan ketiga-tiga Kalam Allah diatas sebagai amalan rutin harianku, yang kini sudah menjadi kawanku, dan isian Al-Quran Kalam Allah yang lainnya aku baca ketika aku mempunyai waktu kelapangan. Bacalah Al-Quran.
Kesungguhan aku dalam mengamalkan ketiga-tiga Kalam Allah yang diatas, Allah telah menunjukkan kebesaranNya dan kasih sayangNya kepadaku, yang mana pernah terjadi keatas diriku, tatkala aku menaiki bas ekspress untuk ke Butterworth pada jam 12:30 malam (AM)(tahun 1997), seorang diri tanpa berteman. Hanya aku seorang saja perempuan didalam bas tersebut. Penumpang bas yang lainnya terdiri daripada kaum lelaki dalam bilangan lebihkurang seramai 7 ke 8 orang. Sewaktu aku hampir terlelap, aku seakan dikejutkan. Apabila aku membuka mata, aku lihat muka seorang lelaki negro cuba mendekati muka aku. Alhamdulillah, aku terjaga dari tidurku. Mungkin dengan berkat mengamalkan kalam Allah "Ayatul Kursi" itu, aku dikejutkan oleh Malaikat Allah. Lelaki negro itu berundur sebaik sahaja aku terjaga, dan aku telah selamat sampai ke destinasi.
Banyak perkara berlaku keatas diriku. Banyak ujian kehidupan yang Allah berikan kepadaku. Namun, Alhamdulillah, asbab daripada perkataan "ada orang nak sihir kamu" itu, telah menyebabkan pendekatan diriku kembali kepada Allah dan kembali menyanjungi kalam Allah. Pendekatan ini membolehkan aku hidup dengan sabar dan tenang. Aku bersyukur kepadaNYA.
Kebesaran Al-Quran Kalam Allah janganlah diragui. Serahkan diri sebulat-bulatnya kepada Allah kerana DIA pemiliknya. DIA lebih mengetahui apa yang diperlukan oleh kita. Tiada yang lebih berhak keatas diri kita melainkan DIA. Isikan diri kita dengan KALAMULLAH. Muga cerita ini menjadi inspirasi / teladan kepada kita untuk berusaha, memperbaiki dan meningkatkan martabat diri kita di sisi Allah. Juga menjadi ingatan dan pendorong kepada diriku sendiri untuk terus mengabdikan diri kepadaNYA dan terus mengingatiNYA. Muga kita bersama-sama dapat menduduki syurga Firdausi milikNYA. Amin.