Selasa, 6 Mac 2018

Bercuti Ke KRABI, Thailand (Part 4)


HARI KETIGA (26/02/2018)

Selesai sudah cerita hari kedua kami berada di Aonang, Krabi, Thailand.  Hari ini adalah hari ketiga kami berada di sini.


Sepertimana semalam, hari ini kami masih bersarapan di Hasna Palace Restaurant.  Sudah menjadi kebiasaan saya, apabila saya bercuti, saya tidak akan pernah tinggalkan kopi kegemaran saya iaitu KOPI MAS AYU PLUS COLLAGEN, minuman sedap dan berkhasiat. Meningkatkan daya  stamina dalam tubuh dan membantu baik pulih organ untuk kesihatan luaran dan dalaman.  Jom awet muda dengan minuman secawan kopi, KOPI MAS AYU PLUS COLLAGEN.  Boleh wsap saya di nombor 017-5922240  kalau nak cuba kopi ni. 😉😉 Beri laluan untuk iklan Kopi Mas Ayu Plus Collagen sikit. He he..Jangan marah ya...


Hari ini kami berdua makan Kuetiau goreng.  Sepertimana yang saya katakan, makanan di Aonang, Krabi, Thailand ni popular dengan rasa masinnya.  Hmm... kalau orang ada darah tinggi, jangan lupa minum jus limau yek...

Didalam agenda yang diaturkan oleh Cik Syahirah Ismail dari AIDIL TRAVEL & TOURS SDN BHD, dan sepertimana yang diberitahu oleh Encik Hasri, Private Tour Guide kami yang berada di Aonang, Krabi, Thailand, pada hari ini, kami berdua akan Joint Tour melawat ke pulau-pulau.  Kami akan pergi ke 4 pulau iaitu Poda Island, Chicken Island, Tub Island dan Moore Island.

Sebelum kami mengikuti lawatan tersebut, pada malamnya, kami telah pun membeli sebuah beg kalis air dan dua buah beg kalis air untuk talipon bimbit.  Kita kena pandai tawar menawar ketika membeli belah barangan di sini, sebab harga barangan di sini boleh tahan mahalnya. 

Beg kalis air yang dijual adalah 390 Bath (RM49.53).  Apabila kita nak membeli, secara otomatik penjual itu akan mengurangkan harga tersebut kepada 350 Bath (RM44.45).  Haa... jangan terpedaya.  Sebenarnya, kita masih boleh minta kurang lagi.  Saya terus tawar menawar dengan si penjual itu, dan akhirnya, si penjual tidak mahu bersuara tetapi dia menunjukkan mesin kalkulator yang ada ditangannya kepada saya dengan nombor 330.  Si penjual tu tak mahu bersuara lagi sebab di kedainya ada ramai pelanggan dari Eropah yang sedang membeli belah barangan di kedainya. Si penjual telah menawarkan harga 330 Bath (RM41.91) kepada saya.  Saya masih berfikir samada perlu beli ataupun tidak, tetapi akhirnya saya beli juga sebuah beg kalis air tersebut.  Manakala beg kalis air untuk talipon bimbit pula, mereka meletakkan  harga 100 Bath (RM12.70)  untuk  satu beg tersebut, dan saya pula dapat membeli dua beg kalis air untuk talipon bimbit tersebut dengan harga 160 Bath (RM20.32) sahaja.

Setelah kami selesai bersarapan, sebuah kereta pelancongan telah datang menjemput kami, lalu  kami dibawa ke pantai untuk mendaftar diri (saya tak ingat lah nama tempat tu).  Kemudiannya, kami berdua diberikan sticker bernombor  007.   Haa.... dapat nombor James Bond you, he he... Kami disuruh menunggu seketika.  Lebih kurang 15 minit berlalu, nombor 007 dipanggil oleh seorang wanita,  Setiap daripada kami yang mempunyai nombor 007 tersebut diminta berkumpul di satu tempat.  Terdapat seorang Tour Guide wanita memperkenalkan dirinya dengan nama Da, nama penuhnya Fareeda. Dialah Tour Guide yang akan menjadi ketua kami untuk lawatan ke pulau-pulau tersebut.  Kumpulan Joint Tour ini terdiri daripada  2 orang lelaki Eropah, seorang wanita dari Peru, Brazil, 3 orang mungkin dari Negara China, dan 9 orang yang datangnya dari Negara Thailand sendiri.  2 orang lelaki Eropah tu tidak turut bersama  semasa bergambar kerana mereka dah hilang entah ke mana...  

Didalam pakej untuk ke pulau-pulau, pelancong diberi dua pilihan samada hendak menaiki Speed Boat (bot laju) ataupun Long Tail Boat  (bot panjang).  Memandangkan, kami pernah menaiki Speed Boat di Malaysia, maka saya memilih untuk menaiki Long Tail Boat. Pelancong juga dikenakan bayaran sebanyak 400 Bath (RM50.80) setiap seorang, tetapi kami berdua tidak perlu bayar lagi sebab agen kami, Cik Syahirah Ismail dari AIDIL TRAVEL & TOURS SDN BHD telah pun menguruskannya, dan sepertimana yang saya beritahu semalam, bayaran lawatan kami telah pun dikira didalam jumlah RM1,503.00 setiap seorang itu.

Selepas Fareeda selesai memberikan taklimat mengenai perjalanan dan keselamatan kami ketika menaiki bot dan menikmati pemandangan di pulau-pulau, kami diminta pergi ke bot pilihan kami.  Kami melalui pasir-pasir pantai yang sangat halus, putih dan bersih.  Pasir-pasirnya amat berbeza daripada pasir-pasir di pantai kita.  

Destinasi lawatan kami yang pertama adalah ke  RAILAY BAY  yang terdapat gua Phra  Nang Cave di pulau tersebut. Menurut Fareeda, ramai yang datang ke sana menanam niat/hajat untuk mendapatkan jodoh.   Kami  diberikan  masa  selama  40 minit  untuk bergambar dan melawat gua  Phra  Nang Cave.  Kami tidak dibenarkan mandi.  Maka, kami berdua hanya bergambar dan langsung tidak pergi ke kawasan gua tersebut.  Di kepulauan ini tiada penempatan.  Hanya kilauan batu-batu dan pasir yang memutih serta dipukul ombak dengan air jernih yang kelihatan kehijauan.  Pulau yang kelihatan sangat indah dan cantik.  Tidak pernah jemu memandang kecantikan alam di sekitar kepulauan ini.  Persisiran pantai  dengan kilauan tanah yang memutih. Bersih, sangat bersih.   Apabila kami berada ditengah lautan, kami dapat melihat warna air yang berasingan antara warna kebiruan dan kehijauan, sangat menakjubkan.  SUBHANALLAH, Maha Besar Allah Yang Maha Mencipta, betapa cantiknya senario di pantai ini, tidak dapat diucapkan dengan kata-kata lagi. Kami bergambar sepuasnya.  Haa... pemandangan di belakang itu adalah gua Phra Nang Cave.

Memandangkan di kepulauan ini tidak ada penempatan, maka mereka  datang  membawa barangan seperti makanan dan minuman untuk dijual kepda pengunjung atau pelancong dari atas Long Tail Boat  sahaja.  

Selesai 40 minit, kami menaiki semula Long Tail Boat dan menuju ke CHICKEN ISLAND, TUB  ISLAND  dan  MOORE  ISLAND.

Semasa perjalanan didalam bot itu, kami dibawa melalui CHICKEN ISLAND.  Di sini, saya percaya tidak ada penempatan dan keadaannya hanya sebuah pulau bergunung yang  berbatu batu sahaja.  Oleh sebab itu, Chicken Island bukan tempat persinggahan.  Bagaimanapun, pemandu Long Tail Boat berhenti seketika di perairan laut berdekatan dengan Chicken Island kerana memberi peluang kepada kami untuk bergambar.  Sempatlah kami bergambar seperti ini.  Tengok gambar di bawah ni, perasan tak gunung@pulau  di belakang gambar kami tu.., rupa bentuk mukabuminya menyerupai seekor ayam., kan... Ha.. Itulah pulau yang digelar dengan nama Chicken Island.


Kami singgah di satu pulau, tapi saya tak pasti pulak namanya apa, kemungkinan  TUB ISLAND, kami singgah selama sejam untuk bergambar dan berjemur.  Cuaca agak panas lah juga.  Alhamdulilllah, sewaktu lawatan ni, cuaca sangat bagus, tidak hujan.  Di sini, kami masih tidak dibenarkan untuk mandi.  Lihat gambar dibawah ni, gambar yang menunjukkan kecantikan alam dan air  lautan di persisiran pantai kepulauan, Aonang, Krabi


Perjalanan seterusnya, kami akan pergi ke Poda  Island.  Semasa dalam perjalanan ke Poda Island, kami dibawa ke satu tempat dan kami dibenarkan turun bot untuk snorkeling.  Inilah buat pertama kalinya saya menggunakan peralatan snorkeling tu..  Saya rasa tak selesa menggunakannya.  Lalu saya mandi tanpa menggunakan peralatan tersebut.  Ada beberapa keping gambar yang dapat diambil.  Lihatlah, gambar di bawah ni, banyak ikan-ikan yang cantik warnanya, sangat jelas kelihatan sebab air di sini sangat jernih. Sangat cantik tempat ni..  Memang tak rugi lah ambil pakej melancong ke Aonang, Krabi, Thailand.


Setelah kami selesai bergembira di sini, kami diminta menaiki Long Tail Boat semula dan kami dibawa ke Poda Island. Pulau terakhir untuk singgah.   Disini kami makan tengahari.  Di pulau ini tidak ada kedai, yek... Joint Tour Guide Fareeda  dan  krewnya telah menyiapkan bekalan makanan untuk makan tengahari buat kami semua.


Beginilah, keindahan dan kecantikan senario di PODA ISLAND.  Pemandangan latar belakang gambar-gambar kami sangat cantik seolah-olah gambar kami seperti sekeping Post Card. 

Program lawatan ke pulau-pulau ini selesai pada jam 5:00 petang, yang mana pada waktu tersebut kami telah pun berada di hotel masing-masing.

Pada malamnya, seperti biasa kami berdua keluar mencari restoran untuk menikmati makanan yang sedap, tapi pada malam ini, pilih punya pilih, kami termasuk ke restoran yang langsung tak sedap masakannya. Minumannya pun, haduish...  Patutlah tak ramai orang yang datang makan ke restoran ni....😏😏😏

Selepas makan, kami cuma berjalan-jalan di Aonang Muslim Street sambil singgah di gerai-gerai menyemak harga makanan dan barangan jualan sahaja, dan juga tangkap gambar la.. Kami datang ke Aonang Krabi, Thailand hanya untuk melancong. Kami tidak menyediakan wang Baht yang lebih untuk membeli belah.  Kami berdua mempunyai hobi yang sama.  Kami hanya suka melihat keindahan dan kecantikan alam kepunyaan Allah yang kita tumpang dan menikmati keindahannya itu.   Selesai sudah cerita untuk hari Ketiga.  Esok adalah hari terakhir kami di Aonang, Krabi, Thailand.  Nanti saya cerita lagi, okay.   Bercuti ke KRABI, Thailand (Part 5)