Sabtu, 23 Mei 2020

Rendang Tok


Bercakap mengenai Rendang Tok ni, sebenarnya aku bukan pandai nak memasak Rendang Tok ni.. Tapi zaman sekarang ni tak susah, jikalau tak tau nak buat, carilah Mr Google.  Ada banyak resepi kat situ.. pilih jer.. tapi cara memasak itu yang pentingnya.

Aku mulai memasak Rendang Tok disebabkan suami aku selalu bercakap pasal Rendang Tok sedap. Suami aku selalu minta aku masakkan Rendang Tok tu... Jadi aku pun mulalah mempelajarinya.  Dan akhirnya Rendang Tok menjadi masakan rendang pilihan yang digemari oleh anak-anak aku.  Terutama jikalau mereka sedang berpantang melahirkan anak, haa.. Rendang Toklah lauk pilihan yang mereka minta.

RENDANG TOK

Bahan-bahan
----------------
1kg Daging (dipotong sebesar 3 inci)
1kg santan @ 1 biji kelapa
1/2 cawan kerisik
3 s/b gula merah
2 keping asam gelugur @ asam keping
3 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
1 batang kulit kayu manis
Daun kunyit (dicarikkan)
Garam secukup rasa

Bahan blender 1
---------------------
25 biji cili kering (digoreng dahulu sebelum blend)
20 biji bawang merah (lagi banyak bawang lagi sedap)
5 cm halia
3 cm lengkuas
5 batang serai

Bahan blender 2
----------------------
2 s/b ketumbar
1 s/b jintan manis
1 s/b jintan putih
1 s/b lada hitam

Cara memasak itu sangat penting.  Ia mengambil masa yang lama untuk memasaknya iaitu lebihkurang 3 hingga 5 jam.

A.  Masukkan daging dan bahan blender 1, 3 kuntum bunga lawang, 5 kuntum bunga cengkih dan batang kulit kayu manis ke dalam kuali, serta masukkan santan lalu masakkan sehingga daging mengecut. 

B.   Daging akan mengeluarkan airnya yang sedia ada padanya, maka kuah akan menjadi banyak.

C.  Apabila  daging sudah separuh lembut, dan kuahnya semakin berkurang, masukkan bahan blender  2 dan gula merah, asam keping serta garam secukup rasa.

D.   Teruskan memasak sehingga kuahnya hampir kering, manakala dagingnya pula semakin lembut, maka masukkanlah kerisik dan daun kunyit yang telah dicarikkan.

E.   Masaklah sehingga rendang itu kering dan kelihatan berminyak.


                                                 Ini diantara bahan bahan yang diperlukan.

Aku suka memasak Rendang Tok  menggunakan dapo arang ni.. Disebabkan dah  kerap ia digunakan, tup tup..., sewaktu nak guna untuk memasak sempena Aidilfitri ni, dinding dapo arang pecah pulak. Mujo ada dawai yang boleh diikatkan disekeliling dapo arang ni..

Selalunya aku suruh menantu sulong aku tunggu sampai kering, tapi kali ni, aku kena buat sendiri.. Penatnye nunggu rendang ni nak kering, mak aiii... 

Beginilah rupanya setelah Rendang Tok siap. Ia dimasak dengan penuh kasih sayang.

Rendang Tok sudah siap untuk dimakan di pagi Syawal (24/05/2020).  Walaupun suami aku gemar Rendang Tok ni, tapi hakikatnya, suami aku tidak pernah berkesempatan untuk memakannya sebab...sebab suami aku tidak pernah berhari raya dengan keluarga aku punnnn.....☺☺


Isnin, 18 Mei 2020

Perintah Kawalan Pergerakan - Covid 19 (Part 3) - 2020


Sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kita boleh lihat pelbagai ragam manusia. Ada yang terlalu takut. Ada yang tak ambil kisah. Ada yang merungut. Ada yang gelisah. Ada yang merindu. Macam -macam gelagat orang yang dapat kita lihat terutama melalui status status di Facebook. 

Aku cuma nak cerita tentang ragam ahli keluarga ku sendiri tentang Covid 19 ni..

Kisah Suamiku

Suami aku tidak tinggal serumah dengan aku.  Suamiku aku tinggal menetap dengan keluarga pertamanya.  Sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac 2020, aku melarang suami aku balik ke rumah aku. He.. he.. Saja lah aku buat begitu sebab aku bimbang tentang bahayanya Covid 19 ni.. Lagi pun aku tak tau bagaimana kehidupan suami aku di sana tu, kut kut dia tak dengar pesanan PM.. haa... dia ke sana ke sini, ke sana ke sini, ke sana ke sini...☺☺☺

Sebenarnya aku bimbang kut suamiku bebas keluar merata... Bahaya kan.. Tapi.. kesian suami aku.  Merungut. Merayu nak balik ke rumah aku.  Macam macam helahnya.. Kepala sakit le..kepala berat le.. Rindu le..ada ada jer...☺☺☺ Ater, nak buat macam mana..??? Nampaknya kerajaan melanjutkan tempoh PKP. Bermula dari 18/03/2020 hingga 31/03/2020, disambung pula dari 01/04/2020 hingga 14/04/2020.  Kemudian sambung lagi... 15/04/2020 hingga 28/04/2020..  Sebulan lebih suami aku tak dapat berjumpa dengan aku.  Aku ni bimbang... Banyak hal yang aku pikiokan. Kut kut nanti suamiku kena road block, haa...naya pulak kena bayo saman.  Kalau nasib tak baik, duk dalam lokap pulak.. Pada 23/04/2020, kita udah mula nak berpuasa. Ater..2 bulan le kome ooi.. suami aku tak dapat jumpa bininya, ye dak... Akhirnya, 2 hari sebelum puasa, suami aku gigih juga balik ke rumah aku.. Hmm.. selama PKP ni, hanya 4 kali je suami aku balik..☺☺ 

Kisah keluarga anak sulong aku

Keluarga anak sulong aku ni terdiri daripada menantu, anak perempuan aku dan 4 orang cucu. Kesemuanya tinggal serumah dengan aku.  Alkisahnya, sejak diistiharkan PKP, menantu sulong aku ni jadi kelam kabut sikit.  Kebimbangannya terhadap Covid 19 ni agak tinggi juga. Sebaik sahaja, kerajaan lockdown pada 18/03/2020, hanya dia seorang sahaja yang akan keluar pergi membeli  belah barangan keperluan barang runcit dalam rumah ini.  Sifat sensitifnya tu kekadang buat aku rimas juga. Dia sangat prihatin bab Covid 19 ni sehingga kekadang aku pun terikut ikut juga perangainya tuuuu...

Setiap kali dia balik dari membeli barangan runcit, tau tak..apa yang dia akan buat..???  Kesemua barangan yang dibeli itu akan dicuci dengan air terlebih dahulu.  Jikalau barang yang dibeli itu tidak boleh dicuci dengan air, maka dia akan pastikan barangan tersebut dijemur di bawah sinar matahari terlebih dahulu, barulah boleh dibawa masuk ke rumah. Aku dan isterinya serta anak anaknya tidak dibenarkan ke mana pun. Tak boleh keluar untuk berjumpa dengan sesiapa pun. Kalau boleh keluar pun, kami hanya dibenar keluar menjemurkan diri di halaman rumah, diwaktu pagi untuk mendapatkan zat matahari. Haa... kau rasaaa...Heeee..

Begitulah keadaan kami sehinggalah abinya balik ke rumah aku 2 hari sebelum berpuasa tempohari.  Adoihai.. Apabila dia nampak abinya balik, dia tidak membenarkan isteri dan anak-anaknya keluar dari bilik tidur mereka.  Hmm..tensyen suami aku.. Tentu terasa bangatt youuu...

Kemudiannya, aku beritahu kepada anak perempuan aku bahawa adiknya akan balik dari Kajang ke Ipoh sebab adiknya ada appointment dengan doktor di HRPB pada 13/05/2020.

Haa..tau tak apa yang berlaku...?  Bersegeralah mereka pindahkan barang mereka ke rumah yang mereka sewa sejak bulan Februari 2020 itu.  Sekarang mereka sudah tinggal di rumah sewa itu.  Sejak berpindah, mereka tak pernah balik berkumpul di rumah. Apatah lagi, setelah tahu adik bongsu mereka dah berada di rumah aku ni.. Mereka kata, "mereka kena kuarantinkan diri mereka dari adik bongsu mereka sekurang kurangnya 14 hari.."  Berhu.. hu.. lah aku apabila mendengarnya.



Begitulah sifat menantu sulong aku yang sangat alergik dan panik dengan Covid 19 ni. Ahli keluarga sendiri pun dia tak mau berjumpa.  Inilah penangan wabak Covid 19.

Kisah keluarga anak kedua aku

Mereka ni tinggal 3 beranak.  Mereka sewa rumah selang sebuah dari rumah aku ni.  Cam cerita tadi lah... Hanya ketua keluarga sahaja yang boleh pergi ke kedai untuk membeli belah.  Si isteri yang sedang mengandung dan anaknya perlu duduk diam diam di rumah tapi... tapi mereka ni tidak lah panik sepertimana abang sulong mereka tu.. Aku boleh jer ziarah ke rumah mereka. Tapi disebabkan along @ menantu sulong aku tu terlalu prihatin dengan Covid 19, ini menyebabkan mereka dilarang datang ke rumah aku dan aku juga dilarang menziarah rumah anak kedua aku tu..  Sian keluarga anak kedua aku.  Walaupun memang sudah diketahui bahawa anak kedua aku tu tidak pernah keluar rumah, kami tetap juga dilarang kerap berjumpa.  Ngeee...

Memeraplah cucu daripada anak kedua aku tu di rumahnya saja.. Dia tak dapat datang ke rumah aku untuk bermain dengan sepupu sepupunya yang tinggal serumah dengan aku ni..



Apabila keluarga anak sulong aku sudah berpindah ke rumah sewa mereka, barulah anak kedua aku dan cucu aku tu datang ke rumah aku, berlepak dengan aku di rumah ni.. Berbuka puasa dengan aku. Begitulah keadaannya.


Kisah anak bongsu ku

Dia ni tinggal di Kajang. Bekerja di Butik Planet Pengantin. Apabila kerajaan istiharkan lockdown pada 18/3/2020, majikannya meminta mereka bekerja dari rumah (work from home). Namun pada 15/04/2020, majikannya telah menutup butik sepenuhnya.  Pekerjanya termasuklah anak bongsu aku diberikan cuti tanpa gaji. Sebagai alternatif membantu income pekerjanya, majikannya telah menyediakan satu skop niaga iaitu menjadi dropship Simply Halal yang menjual kurma. Memandangkan, anak bongsu aku ada appointment doktor pada 13/05/2020, maka pada 10/05/2020, dia sudah balik ke Ipoh. 

Pada 17/05/2020, satu berita sedih mengenai kematian sahabatnya bernama Nurul Ain Natasha Binti Mazlan berlaku di Sepang.  Maka, anak aku ingin sangat menziarah jenazah sahabatnya itu. Sahabatnya meninggal dunia pada jam 7:30 pagi.  Maka, pada sebelah petangnya dia cuba untuk merentas negeri.  Tau tak apa yang terjadi? Apabila dia sampai di Tol Slim River, dia pusing balik sebab ada banyak roadblock.  Polis tu pelik.. Tau tak apa dia jawab..? Dia kata, "sebenarnya saya dari Tambun nak ke Batu Gajah, saya udah terlepas simpang pulak".. Ha ha.. ini memang jawapan lawak, kan.. 




Namun, memandangkan jenazah sahabatnya lambat dikebumikan, maka dia telah membuat keputusan untuk pergi ke Sepang tetapi dengan mendapatkan permit perjalanan daripada pegawai PDRM terlebih dahulu.  Dia sampai tepat pada masanya dan dia berpeluang bersama sama teman yang lain membawa jenazah ke Tanah Perkuburan Sg Lalang Sepang. 






Arwah Nurul Ain Natasha ni memang sangat baik budaknya. Mesra. Dialah yang bantu menghantar kami ke KLIA semasa kami mahu menaiki kapalterbang untuk bercuti ke Krabi pada tahun 2018 yang lalu.  Semuanya menjadi kenangan. Muga rohmu tenang di sana. Alfatihah (baca).


Kisah aku... he he..

Sejak kerajaan suruh duduk diam di rumah pada 18/03/2020, aku duduk diam di rumah sajalah. Takut nak keluar.  Aku buat kerja dari rumah.  Namun, aku pernah ke pejabat sebanyak 2 kali selama tempoh PKP tu.. Ini disebabkan ada surat surat berkaitan kes urgent yang perlu dikeluarkan. Aku hanya berada 2 jam jer di pejabat tu.. Kemudiannya, kerajaan telah melonggarkan PKP dimana kami sudah boleh memulakan bekerja sepenuhnya di pejabat. Maka pada 12/05/2020, kami telah membuka pejabat seperti biasa.  Namun, sudah menjadi tabiat. Apabila sampai dirumah jer.. Mask muka terus dibasuh. Ini juga diantara salah satu sebab sebab kenapa keluarga anak sulong aku nekad berpindah dalam musim PKP ni.. ☺☺☺


Sajalah simpan gambar disini.. Nak buat kenangan. Nanti aku ingatlah yang aku ni pernah kena bekerja dari rumah, he he.. Udah 30 tahun aku bekerja, tetiba inilah kali pertama aku kena bekerja dari rumah, kann..


Ini pun nak buat kenangan juga... Haa..sok sok tau lah.. inilah aksesori yang paling berharga ketika PKP ni, kan... Aksesori apa..??? Mask muka tuu..


                                Suasana di pejabat. Semua orang menggunapakai aksesori mask muka

Di musim PKP ni, ramai juga yang mengambil kesempatan menjual mask muka dengan harga yang mahal.  Hampir semua orang nak buat duit dengan menjual mask muka ni.

Ketika mula bekerja di pejabat dalam musim PKP ni, aku disuruh duduk di Tingkat Atas dengan alasan untuk menjaga penjarakkan.  Haa.. okay juga duduk bekerja di tingkat atas ni.. he he.

Beginilah ragam kami ketika berada dalam  PKP  yang buat julung kali terpaksa dilalui oleh rakyat Malaysia dan manusia sedunia. Ianya memang menjadi sejarah dalam hidup yang tidak mungkin dilupakan.

#SejarahCovid19
#VirusCoronavirus