Sabtu, 20 Disember 2014

Syukur KepadaNYA


Asslamualaikum kepada saudara, kaum keluarga dan kenalan ku yang mengikuti blog ku ini.

Sudah beberapa waktu aku menyepi dan tidak membuka blog ini.  Terasa rindu untuk menceritakan kehidupan yang aku lalui, agar dapat dijadikan renungan buat suami, anak anakku, menantu dan cucu cucu di kala sampainya waktu, aku kembali.

Pada 07-11-2014 (Jumaat) Jam 10:00PM, aku telah menerima panggilan talipon daripada emak aku yang memberitahu aku bahawa makcik Laila telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh. Beliau telah longlai secara tiba tiba ketika sedang bekerja. Lalu dengan segera dia telah dikejarkan ke hospital. Pihak hospital memaklumkan ada saluran darah pecah di bahagian otak dan mengakibatkan pembekuan darah. Doktor telah mengarahkan pihak hospital supaya makcik Laila dibedah dengan segera.

Berita sedih ini memeranjatkan kesemua sanak saudara. Ramai sanak saudara, sahabat,dan rakan taulan makcik Laila yang datang menziarahinya di hospital walaupun sebenarnya, dia kini telah berada dalam keadaan koma.

Apabila ditanya, apakah yang menyebabkan makcik Laila jadi begitu? Jawapan: TEKANAN DARAH TINGGI. Amatlah menyedihkan dan memeranjatkan. Memang sudah kehendak Allah, Sebelum peristiwa ini, Allah telah melontar perasaan takut yang amat sangat ke dalam dirinya yang mana beliau enggan berjumpa doktor untuk membuat sebarang pemeriksaan kesihatan. Kegagalannya untuk membuat pemeriksaan kesihatan telah menyebabkan tekanan darahnya amat tinggi dan mengakibatkan saluran darah di bahagian otak kecilnya pecah. Sejak hari itu, beliau berada didalam wad hospital dan  pada 17-01-2015, kami telah diberitahu bahawa beliau telah kembali ke rahmatullah menghadap Illahi.

Peristiwa tersebut juga memberi kesan kepadaku. Aku tahu, kita semua memang akan mati tetapi aku berharap aku tidak ada penyakit yang mudharat, yang boleh menyebabkan aku menyusahkan mereka kelak. Daripada peristiwa tersebut, marilah kita sama sama mendapatkan saringan kesihatan badan kita daripada doktor untuk memastikan agar kita sentiasa sihat.

Kini, usiaku menjangkau 50 tahun. Aku perlu buat saringan kesihatan. Maka, pada 28-11-2014, aku telah mendapatkan saringan pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan Kecil yang berdekatan dengan rumah kediamanku. Alhamdulillah, aku sangat gembira dan berpuas hati dengan keputusan saringan kesihatan tersebut.

Syukur kepada Allah diatas nikmat kesihatan badan yang Engkau berikan kepadaku di saat ini.  Alhamdulillah, muga aku sentiasa berada di bawah perlindunganMu, Ya Rabbi, Ya Allah.  Terimasih Allah.