Khamis, 21 September 2017

KENALI AKU - DIRI SEJATI

Assalamualaikum.  Lama sudah Opah tidak menjengah ruangan blog ini, maklumlah Opah ni terlalu sebok melayani karenah cucu-cucu, apatah lagi dengan kedatangan  cucu baruku, cucu keempat didalam keluargaku iaitu Nur Esyal Qarmila.  Hari ini, Opah ada masa sikit nak berchit chet, jadinya Opah nak bertanya, adakah kamu telah mencari dan mengenali diri mu yang sejati? Ramai yang berkata, jika kamu kenali diri kamu, maka kamu akan kenali Allah.  Apakah yang kita perlu cari? Sempena Maal Hijrah pada hari ini, marilah kita bersama-sama berhijrah dan  Carilah Siapa AKU.

DIRI SEJATI

AKU adalah diri yang sebenar-benar diri.  AKU..... Siapa AKU...? Perlukah kita mencari AKU?  Pentingnya AKU.

"AKU"

AKU adalah diri yang sebenar-benarnya diri (DIRI SEJATI).  AKU adalah ROHULLAH yang datangnya dari ZATULLAH.  Menyatakan akan UJUDULLAH.  AKU lah yang dinamakan AMAR ROBBI iaitu URUSAN ALLAH.

AKU yang hidup datangnya dari Yang Maha Hidup, yang bersifat ghaib (negative) yang datang dari Yang Maha Ghaib.  Tatkala ZATUL HAQ (Zat Yang Benar) ingin menyatakan akan diriNYA, maka DIA (Zatul Haq) mentajalilkan akan Nur-Nya yang dinamakan kini Rohullah atau AKU.  Kini, AKUlah yang nyata dan AKU merupakan sifatnya.

Sebagaimana firmanNya;

"KULLI ROHIMIN AMRI ROBBI" (ertinya setiap roh itu adalah urusanku)

Ramai yang mencari AKU, namun jarang yang ketemu.  Ini kerana AKU berada jauh didalam RASA iaitu didalam rasa yang mendalam.  Dimanakah AKU?  AKU berada tentunya pada badan iaitu didalam badan diri.

Kalau ada yang mahu mencari AKU, maka katakanlah, "AKU ada tetapi tiada, AKU tiada tetapi ada".  Ada pada hakikatnya namun tiada pada rupa.  AKU yang tidak berupa merupakan sumber atau daya-daya KUDRATULLAH yang hidup lagi menghidupkan kerana AKU adalah HAYATULLAH yang asalnya berasal dari Zatullah.

Apabila kita mencari ILMU MENGENAL DIRI, tentu ramai daripada kita yang menyangka bahawa yang akan dibicarakan ialah Diri yang kelihatan iaitu jasad kasar kita atau yang dikenali dengan panggilan Badan, tetapi sebenarnya tidak. DIRI yang dimaksudkan itu ialah DIRI SEBENAR DIRI, yang duduknya didalam jasad atau badan kasar kita ini.  Untuk itu, kita haruslah memahami yang mana jasmani dan yang mana rohani, yang mana diri terdiri dari diri terperi, yang mana jiwa dan yang mana raga, dan yang selalu jadi sebutan orang yaitu yang mana zahir dan yang mana batin.  Kita harus faham perbezaan dua kata ini, sebelum kita lafazkannya.

JASMANI tentunya berbeza daripada ROHANI.  Jiwa berbeza daripada Raga dan pastinya Zahir berbeza daripada Batin, jika tidak, mengapa ada dua perkataan tersebut yang sentiasa menjadi sebutan kita?

Kita semua tahu dan selalu menyebut akan kalimah ini, tapi tahukah kita perbezaan antara keduanya?  Perbezaan inilah yang ramai antara kita tidak dapat menerangkan dengan jelas apa lagi untuk dapat merasakan perbezaannya.

Kebanyakan daripada kita beranggapan bahawa Jasad kasar kita ini atau badan kita inilah dipanggil "DIRI" dan dapat hidup sendiri sendiri, tetapi sebenarnya Jasad atau Badan Kasar kita ini yang kita jaga dan perindahkan ini, sebenarnya ialah benda mati, yang tidak dapat berbuat apa-apa jika tidak ada "PENGHIDUPNYA" yang duduk didalam jasad itu sendiri.  Penghidup inilah dipanggil Diri Sebenar Diri.  Diri yang berdiri dengan sendiri dan yang ujud apabila ROH memasuki Jasad.  Oleh itu, fahamlah kita bahawa Diri Sebenar Diri ujud sesudah ROH berada didalam Jasad. Itulah penyatuannya.

Perlulah diketahui bahawa kita ini secara amnya terbahagi kepada dua iaitu yang dipanggil JASMANI (Jasad) dan ROHANI (Roh).  Atau ada juga orang memanggil Jiwa dan Raga, dan banyak lagi nama-nama yang diberikan kepada Diri dan Jasad untuk mudah difahami dan ianya mengikut perguruan tertentu/masing-masing.  

Kenalilah AKU, carilah AKU supaya kelak dapat melalui jalan yang lurus untuk bertemu ALLAH. 
Amin.

(Ulasan dari TAUA-Tok Ayah Ustaz Asri)